RENCANA
Pembaharuan yang dinantikan Real Madrid?
Itulah yang cuba dibuktikan Gareth Bale apabila meledak hatrik pada aksi pertama Zinedine Zidane bersama Real Madrid di Santiago Bernabeu 10 Disember lalu.
Tatkala mata tertumpu kepada Zizou dengan persoalan apakah bekas pemain sensasi Perancis ini akan langkah kanan pada tugasan pertamanya, ramai pemerhati bola sepak mahu menyaksikan drama yang wujud di bilik persalinan.
Bale dikatakan secara terbuka meluahkan rasa kurang senang dengan pemecatan Rafael Benitez dan status "naik taraf" Zizou dari Madrid B kepada pasukan senior. Khabar angin mengatakan ia mungkin kerana Bale khuatir dengan peranannya dalam kesebelasan utama nanti.
Iklan
Apapun alasan, pemain yang berasal dari Cardiff ini nampaknya mengambil langkah bijak dengan menukar rasa "takut" itu kepada aksi memukau yang akhirnya membantu kejayaan Zidane, merekod kemenangan besar 5-0 ke atas Deportivo La Coruna.
Bagaimanapun nampaknya Zidane tidak mudah terhibur. Dalam sidang media selepas perlawanan, dia menjelaskan keengganan memuji individu tertentu diatas kejayaan pasukan, termasuk pemain Perancis yang turut menyumbang gol, Karim Benzema, mahu pun bintang prolifik, Cristiano Ronaldo.
Zidane juga berjanji tiada perubahan besar akan dilakukan kepada Real Madrid, seolah-olah faham dengan situasi yang dirasai Bale dan mungkin juga sebilangan besar pemain Real. Namun apakah ini yang didambakan pihak pengurusan Real yang sudah pasti mengharapkan pembaharuan?
Apa yang penting, apakah pembaharuan akan cetus impak positif di kalangan pemain seperti yang terjadi kepada Bale atau Zidane perlu ambil masa sehingga akhir musim ini ketika para penyokong mengharapkan kehadiran Zidane dapat merealisasikan impian untuk menjulang gelaran juara La Liga.
Must-Watch Video