Skip to main content

Rencana

Pemain, penyokong perlu sama-sama matang, baru mentaliti juara

fans-selangor.jpg
Sejurus kekalahan 0-1 Selangor kepada Terengganu FC dalam aksi Liga Super Jumaat lalu, penjaga gol Selangor, Farizal Harun, menjadi sasaran kecaman penyokong The Red Giants di laman sosial.

Bekas penjaga gol Felda United itu dikatakan mengeluarkan kata-kata berbaur lucah kepada segelintir penyokong Selangor di Stadium Sultan Ismail Nassiruddin Shah sejurus perlawanan tersebut selepas terdapatnya provokasi penyokong.

Bagi penulis, isu seperti ini bukan perkara baru dalam bola sepak tempatan kita dan pemain dan penyokong perlu sama-sama matang.

Jika dilihat dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), penyokong mereka tetap setia di belakang kelab yang mereka sanjung sama ada ketika menang, mahupun kalah.

Memetik kata-kata legenda Selangor dan negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, “Jika anda malu berdiri di belakang bendera anda, lebih baik cari bendera lain."

Kata- kata Mokhtar itu tidak seharusnya tertuju buat pemain saja, tetapi penulis berasakan ia harus disematkan dalam sanubari setiap penyokong Selangor.

Bagi penulis, tidak mungkin pemain akan memberi tindak balas negatif seperti yang dilakukan Farizal seandainya tidak ada provokasi daripada penyokong.

Dan bagi Farizal serta pemain-pemain Selangor pula, mereka perlu ingat bahawa mereka adalah pemain profesional yang mewakili pasukan yang penuh tradisi.

Pemain perlu sentiasa mengawal emosi mereka, meskipun penulis tahu ia kadang-kala sukar dilakukan dalam situasi yang cukup panas dan tegang.

Pemain juga perlu ingat, segala tingkah laku mereka diperhatikan media dan jika memberikan reaksi yang tidak wajar kepada peminat, sudah pasti media akan melaporkannya.

Kerana itu, penulis berharap dalam isu Farizal ini kedua-dua pihak perlu 'forgive, forget and move on' dan jika mampu melakukannya, baru ada mentaliti juara.

Farizal sudah pun membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Instagram miliknya dan terserah kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk menentukan sama ada perlu atau tidak untuk mengambil tindakan susulan terhadap penjaga gol itu.

*kredit foto: FA Selangor

Advertisement

Must Watch Video