Skip to main content

Rencana

Pelukan Messi ibarat segalanya

fati-cover.jpg
Ia tidak mungkin lebih mengasyikkan daripada ini buat seorang pemain semuda 16 tahun dalam kancah LaLiga.

Di penghujung aksi sulungnya buat Barcelona, Ansu Fati menerima pelukan erat pemain terbaik dunia dan rakan sepasukan, Lionel Messi, untuk ia dijadikan kenangan abadi sepanjang hayatnya.

Kemenangan 5-2 Barca ke atas Real Betis di Camp Nou, malam Ahad lalu, tidak akan dapat dipadamkan daripada memorinya.



Membuat penampilan sulung untuk Barca pada usia 16 tahun, sembilan bulan dan 25 hari selaku pemain kedua termuda dalam sejarah kelab itu – selepas Vicente Martinez pada 1941 -- Fati amat menghargai rahmat besar yang dimilikinya.

Pemain kelahiran Guinea-Bissau yang juga produk akademi La Masia itu kelihatan amat selesa bergandingan dengan Antoine Griezmann di barisan serangan ketika Messi sekadar menjadi penonton bagi merawat kecederaannya.

“Saya berada lama sedikit di atas padang (selepas perlawanan tamat) kerana saya seakan-akan tidak dapat mempercayai,” kata Fati seperti dipetik oleh akhbar harian sukan Sepanyol, Marca.

Fati menyertai La Masia ketika berumur 10 tahun dalam pada Real Madrid turut menagih kehadirannya dengan tawaran lebih lumayan tetapi ibu-bapanya memilih Barcelona kerana terpikat dengan projek kelab itu.

Menyusuli perpindahannya daripada Sevilla ketika itu, Fati segera menyerlahkan bakatnya sebagai pemain harapan terbaik di akademi skuad Blaugrana itu – dia konsisten dalam setiap peringkat umur yang dia beraksi, termasuk meninggalkan impak dalam Liga Belia UEFA.



Fati menyumbat empat gol dan menyumbang tiga bantuan jaringan daripada sembilan perlawanan liga itu musim lalu, termasuk dua gol dalam separuh akhir ketika Barca tewas kepada Chelsea dalam penentuan sepakan penalti.

Gara-gara bakat besarnya itu, Barca menawarkannya kontrak lanjutan awal tahun ini, yang merangkumi klausa pelepasan EUR100 juta (RM466j).

Malam Ahad lalu, pengurus, Ernesto Valverde, memberinya kesempatan 15 minit berdepan Real Betis untuk dia menikmati pengalaman pertama bersama skuad utama Barca pada ketika pasukan dinafikan khidmat Lionel Messi, Luis Suarez and Ousmane Dembele yang cedera.

Ia mungkin hanya penampilan singkat tapi penyokong di Camp Nou kini amat mengenalinya lantaran dia amat berani menggelecekkan pemain lawan yang lebih senior.

Di penghujung perlawanan itu, Fati mendapat habuan yang tidak dijangkakannya kerana menantinya di hujung terowong pemain ialah Messi yang memberinya pelukan erat.

“Satu perlawanan hebat untuk semua,” ciap Messi menerusi Instagram, disertai sekeping foto dia sedang memeluk Fati.

Balas Fati melalui Instagram: “Terima kasih semua. Saya akan mengingati ini sepanjang hayat saya.

“Ia impian mana-mana pemain muda di La Masía untuk membuat penampilan sulung di Camp Nou. Dan berkongsinya dengan pemain-pemain terbaik dunia sekadar membuatkan ia lebih istimewa.”

Serta-merta, jumlah 64,000 pengikut pemain itu di Instagram, melonjak melepasi 300,000 selepas perlawanan itu.

Advertisement

Must Watch Video