Skip to main content

Rencana

Peluang perbaiki ranking dunia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

asiana-chenghoe.jpg
Lima aksi persahabatan antarabangsa yang diatur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk skuad kebangsaan dari Julai hingga Oktober depan bagi penulis bukan saja sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Suzuki AFF.

Ia sebenarnya adalah peluang terbaik buat Harimau Malaya segera memperbaiki ranking dunia sebelum saingan Piala Suzuki AFF pada November.

Namun, untuk memperbaiki ranking negara juga memerlukan barisan kendalian Tan Cheng Hoe  merakam keputusan positif dalam lima aksi tersebut.

Fiji, Taiwan, Kemboja, Sri Lanka dan juga Kyrgyzstan bukan kuasa besar bola sepak namun, setiap pasukan ini dijangka tetap memberi cabaran buat skuad negara.

Kyrgyzstan yang kini menghuni ranking 92 dunia dijangka memberi saingan paling sengit jika dilihat kepada ranking terkini skuad negara di tangga 171 dunia.

Kejayaan menamatkan kemarau kemenangan antarabangsa sejak November 2016, ketika menewaskan Bhutan 7-0 dalam aksi persahabatan April lalu seharusnya menjadi pemangkin kebangkitan di bawah kendalian Cheng Hoe.

 Pada pengamatan penulis berdasarkan tahap permainan dalam saingan Liga Super, kita tidak seharusnya berada di ranking 171 dunia.

Mungkin wajar jika FAM merancang bersama Cheng Hoe untuk skuad negara mensasarkan ranking sekurang-kurangnya dalam lingkungan 120 terbaik dunia pada hujung tahun ini.

Jika lima aksi persahabatan yang dirangka berjaya meraih keputusan positif serta skuad negara mara jauh di Piala Suzuki AFF, tidak mustahil sasaran itu dikecapi.

Selepas itu, usaha perlu diteruskan untuk memastikan Harimau Malaya berada dalam lingkungan ranking 100 terbaik dunia pada 2019 dan kemudian baru meletakkan sasaran lebih tinggi berada dalam lingkungan 70-80 terbaik dunia pada 2020 hingga 2021.

Usaha memperbaiki ranking memerlukan strategi tepat daripada FAM dalam merangka aksi persahabatan antarabangsa Kelas A.

Contoh terbaik buat FAM adalah melihat bagaimana Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) memperbaiki ranking skuad kebangsaan India dalam tempoh hanya tiga tahun.

India berada di ranking 173 dunia pada 2015, namun berkat perancangan teliti dalam mengatur aksi persahabatan Kelas A membolehkan Blue Tigers kini di ranking 97 dunia.

Sudah pasti peningkatan India juga memerlukan peningkatan tahap permainan skuad kebangsaan mereka serta saingan domestik yang kompetitif sebagai ramuan utama.

Selain itu,  penulis berasa Malaysia juga perlu mensasarkan kedudukan ranking dunia terbaik dalam kalangan negara ASEAN terlebih dulu.

Ketika ini, Vietnam adalah negara ASEAN di ranking dunia terbaik iaitu 102 dunia dan ke 17 dalam kalangan negara anggota AFC.

Jika ia mampu dicapai dalam tempoh tiga tahun ini dan dikekalkan, mungkin selepas itu baru sasaran kedudukan lebih tinggi dalam kalangan negara AFC boleh disasarkan.

Memang ia bukan mudah meningkatkan ranking dunia bola sepak negara seperti yang peminat tempatan harapkan kerana ia memerlukan juga kesabaran dan kesungguhan daripada pemain.

Penulis masih yakin dengan Cheng Hoe selaku pengendali kebangsaan dan penulis juga mengharapkan pemain yang akan dipanggil akan turut mempunyai kecekalan hati dan keazaman tinggi memulihkan semula imej bola sepak negara di pentas antarabangsa.

Advertisement

Must Watch Video