RENCANA
Peillat terbukti pemusnah
Empat gol sudut penalti daripada "goal machine" Argentina, Gonzalo Peillat, sudah cukup untuk memusnahkan harapan negara untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata dalam perlawanan pertama Kumpulan A, Liga Hoki Dunia menentang pasukan no. 1 dunia ini.
Kita tewas 2-5 awal pagi tadi walaupun dalam dua suku pertama, Malaysia bermain baik dengan mengikat Argentina 2-2.
Apapun, dua jaringan berjaya dihasilkan menerusi pukulan sudut penalti Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan gol padang Shahril Saabah yang diharapkan terus memberi semangat dan keyakinan untuk menghadapi England dalam perlawanan kedua yang akan berlangsung kurang 24 jam nanti.
Iklan
Dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah bulan lalu, kita tewas 0-1 kepada Great Britain yang membariskan 90 peratus pemain England, namun ini tidak bermakna kita tidak boleh sekurang kurangnya mencuri satu mata daripada mereka.
Mereka tidak mempunyai Peillat dalam pasukan mereka yang perlu kita takuti.
Walaupun mereka berjaya menewaskan China 2-0 dalam perlawanan pertama mereka, saya melihat jika kita menunjukkan prestasi dalam dua suku pertama dan 10 minit terakhir menentang Argentina, pasti kita mampu.
Mungkin mereka mempunyai sedikit kelebihan rehat yang panjang dan bermain di hadapan penyokong mereka, strategi dan taktikal mantap Stephen Van Huizen mampu menidakkan kelebihan mereka itu.
Pemulihan dan rehat secukupnya amat penting buat pemain-pemain. Usahalah apa yang patut, terutama daripada pakar pemakan dan juga tukang urut pasukan supaya pemain-pemain bersedia secara fizikal untuk berjuang habis-habisan semula.
Sekali lagi jangan lupa untuk menyaksikan Siaran Secara Langsung Malaysia menentang England jam 11 malam ini di Astro Arena Saluran 801 dan 802HD.
Kita sama-sama berikan sokongan kepada mereka dari rumah dan jika ada kata semangat yang ingin dilontarkan kepada pasukan hoki negara di laman laman social, jangan lupa #MYHoki.
Semoga kejayaan milik kita. All The Best Malaysian Hockey Tigers!
Must-Watch Video