Skip to main content

Rencana

PECAH DOMINASI THT & KLHC

zzz-unikl.jpg
Rakyat Malaysia boleh berbangga apabila 24 pemain import menyertai Liga Hoki Malaysia 2018.

Mereka bukan calang-calang pemain, ada penjaga gol terbaik dunia, pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia dan bekas kapten gergasi dunia.

Antara mencuri tumpuan, Gonzalo Peillat (Argentina) yang memiliki kemampuan menjaringkan tiga daripada empat pukulan sudut penalti atau ketajaman 75 peratus.

Dia masih segar dengan kejayaan muncul penjaring terbanyak Sukan Olimpik Rio 2016 dan Piala Dunia 2014.

Malah, pertahanan itu turut tercalon dalam Anugerah Pemain Terbaik FIH 2017.

Peillat akan menyarung jersi Terengganu Hockey Team (THT) selaku juara Piala TNB dan Piala Tan Sri P Alagendra.

THT turut memiliki lima lagi pemain import berkualiti selain pemain tempatan seperti adik-beradik Faizal dan Fitri Saari.

Mereka akan dicabar lima lagi pasukan terutama Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

KLHC akan turun selaku juara bertahan Liga Perdana dan Piala Sumbangsih.

Komposisi pemain import dan tempatan skuad kendalian Lim Chiow Chuan lebih seimbang.

Bekas gergasi LHM itu mendapatkan khidmat pemain import yang sudah melepasi zaman kegemilangan seperti Lee Nam Yong dan Jang Jong Hyun (Korea).

Begitu juga dengan Tom Carson dari Britain serta tiga bekas pemain kebangsaan Australia, Nick Budgeon, Josh Pollard dan Matthew Willis. Cuma mereka akan tiba selepas tamat Piala Tan Sri P Alagendra.

Selain dua pasukan ini, saya lihat Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) persiapan rapi.

Jurulatih, Arul Selvaraj menggunakan pengaruhnya di Eropah untuk memancing David Harte (Ireland) selaku penjaga gol terbaik dunia dan pemain tengah Belanda, Sander de Wijn.

Kedua-dua pemain ini berada di puncak prestasi dan mampu beri sumbangan besar untuk UniKL rangkul trofi pertama sejak ditubuhkan pada 2009.

Saya ramalkan, dominasi THT dan KLHC sejak 2013 akan berakhir. UniKL akan beri saingan sengit dan ia sesuatu yang positif untuk hoki.

Sudahlah LHM sukar mendapatkan pasukan. Jika sesebuah pasukan terlalu dominan maka pasukan baru akan hilang minat untuk meneruskan cabaran, situasi itu berlaku sebelum tarikh tutup pendaftaran pasukan.

Selamat berjuang untuk THT, KLHC, UniKL, Tenaga Nasional Berhad, Maybank dan TNB Thunderbolts.

Semoga pasukan terbaik menang!

Advertisement

Must Watch Video