RENCANA
PC paling sempurna
Skuad hoki negara terkenal dengan ketajaman pukulan sudut penalti.
Sejak zaman 'hitter' seperti K Embaraj, Nor Saiful Zaini menuju 'flicker' S Kuhan, Mohd Amin Rahim dan Mohd Razie Abd Rahim - peminat akan bersorak riang apabila Malaysia dihadiahkan gerakan maut ini.
Namun suasana itu tidak wujud dalam Piala Dunia Remaja 2016.
Iklan
Najmi Farizal Jazlan dan Mohd Firdaus Omar berdepan masalah melaksanakan tugas mereka. Tiada sebarang gol menerusi tolakan terus dan ia sesuatu yang mengecewakan.
Saya mengesan dua masalah.
Pertama, penolak dan penahan bola gagal melaksanakan tugas cemerlang.
Sama ada bola ditolak perlahan atau gagal dihentikan dengan baik, kombinasi ini akan menyukarkan tugas pakar pukulan sudut penalti.
"Ini masalah apabila kita tidak buat persiapan rapi. Kombinasi PC perlukan masa untuk serasi, sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun," kata bekas kapten hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi.
Situasi di Lucknow, India mengingatkan saya terhadap trio paling sempurna melaksanakan pukulan sudut penalti.
Ketika separuh akhir Sukan Asia Guangzhou 2010, Malaysia terikat 3-3 menentang India.
Siren penamat dibunyikan dan perlawanan diheret ke masa tambahan gol emas.
Masing-masing melancarkan serangan bertali arus dan akhirnya Malaysia dihadiahkan pukulan sudut penalti.
Azlan Misron melangkah ke penjuru penolak. Ketika itu, pertahanan ini memiliki reputasi penolak terbaik negara dengan tolakan padu dan tepat ke garisan D.
Madzli Ikmar Mohd Noor merendahkan badan mengambil kedudukan sebagai penahan. Pertahanan ini mampu menahan hingga bola pegun, tidak kira selaju mana ia ditolak.
Mohd Amin Rahim pula berundur beberapa tapak ke belakang untuk mengambil momentum. Berbekal susuk tubuh sasa, Amin memiliki tolakan kencang dan mampu mengelak pelari pertama lawan dengan sekelip mata.
Semua sudah bersedia dan Azlan menolak kencang ke arah tidak tepat.
Dua meter sebelum bola tiba di garisan D, Madzli dan Amin bergerak satu tapak ke sebelah kiri.
Rupa-rupanya gerakan itu sudah dirancang untuk mengelirukan pelari pertama India.
Strategi itu berhasil dan dengan pelari pertama sudah ditewaskan, Amin melepaskan paling kencang...sekelip mata bola menggegar jaring. Goooooolll!!!
Malaysia cipta sejarah mara ke final Sukan Asia buat kali pertama dan akhirnya meraih pingat perak.
Enam tahun sudah berlalu namun saya masih ingat dengan jelas apa yang berlaku ketika pukulan sudut penalti itu diambil.
Ia umpama seni yang memerlukan tiga pakar untuk cari kesempurnaan.
Bagi saya, Azlan, Madzli dan Amin adalah trio terbaik pernah dimiliki negara ketika pukulan sudut penalti. Siapa trio pilihan anda?
Must-Watch Video



