Skip to main content

Rencana

Paqueta si Kaka baru

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

cover-paqueta.jpg
Sewaktu mula dibawa masuk ke AC Milan oleh pengendali, Gennaro Gattuso, tiada siapa yang mengambil peduli akan kehadiran Lucas Paqueta.

Namun, pemain berusia 21 tahun dari Brazil itu mencuri tumpuan apabila persefahaman yang dipamerkan bersama seorang lagi bintang baru Rossoneri, Krzysztof Piatek, menjadi sebutan di San Siro sehingga mereka digelar pengganti kepada legenda Milan, Andriy Shevchenko dan Kaka. Malah, Kaka sendiri mengagumi kemampuannya.

Persembahan meyakinkan yang dipamerkan itu mengejutkan banyak pihak tetapi bukan buat pengurus skuad kebangsaan Brazil, Tite, setelah pengendali itu pernah menyamakan Paqueta dengan dua bintang Selecao, Philippe Coutinho dan Neymar.

"Cara Paqueta berfikir dalam bola sepak sama seperti Coutinho dan Neymar."

Itu ungkapan Tite apabila ditanya mengenai Paqueta atau nama sebenarnya Lucas Tolentino Coelho de Lima. Jadi, siapa sebenarnya dia?



Paqueta adalah pemain kelahiran Rio de Janeiro yang mula dikesan bakatnya ketika berusia 10 tahun oleh kelab Brazil, Flamengo. Memiliki kelebihan menerusi teknik kawalan bola yang menarik, peringkat awal menyaksikan banyak pihak meragui kemampuannya kerana ketinggian yang agak rendah (153 sentimeter ketika berusia 15 tahun).

Bagaimanapun, dia membuat kejutan apabila mencapai ketinggian 180 sentimeter ketika berusia 18 tahun, sekali gus meraih saiz ideal buat seorang pemain bola sepak.

Bersama pemain muda Brazil yang lain seperti Rodrygo, Vinicius Junior, Thiago Maia, Victor Hugo Santana Carvalho atau Vitinho serta David Neres, Paqueta dilihat sebagai pelengkap generasi baru Selecao, lebih-lebih lagi selepas juara lima kali Piala Dunia itu ketandusan trofi agung sejak 2002.



Tahun lalu, Paqueta meraih musim paling cemerlang bersama Flamengo, melakukan 65 penampilan, menyumbat 13 gol serta lima bantuan jaringan sehingga akhirnya membawa kepada perpindahannya ke Itali.

Sebelum itu, khidmat Paqueta menjadi rebutan dua gergasi LaLiga, Barcelona dan Real Madrid, sambil Manchester United juga dikatakan berminat untuk membawanya keluar dari Brazil, namun akhirnya Milan menjadi destinasi.



Kini, dia menggalas tugas selaku arkitek utama di bahagian tengah Rossoneri dan setakat ini, Paqueta berjaya mengemudi Milan menduduki tangga ketiga Serie A, sekali gus berpeluang membantu pasukannya tampil buat kali pertama dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan sejak kali terakhir pada musim 2013-14.



Biarpun hanya mencatat satu gol dan satu bantuan jaringan sejak tiba di San Siro awal Januari lalu, kelibat Paqueta tetap menjadi tumpuan semua peminat Rossoneri setiap minggu selain Piatek.

Hanya masa akan menentukan detik untuk seorang lagi bintang Brazil menjadi tumpuan semua peminat bola sepak.

Advertisement

Must Watch Video