Skip to main content

Rencana

Pakistan penentu nasib Malaysian Tigers

hoki.jpg
33 gol dan dua bolos dalam tiga perlawanan membuktikan skuad hoki lelaki kebangsaan berada pada landasan tepat dalam misi meraih pingat emas Sukan Asia 2018.

Malaysian Tigers sebelum ini tidak berdepan cabaran sukar selepas berjaya menang 16-2 ke atas Kazakhstan, 10-0 dengan Thailand dan 7-0 terhadap Bangladesh.

Sepanjang tiga perlawanan, pakar flick negara, Muhammad Razie Abdul Rahim berkongsi kedudukan sebagai penjaring kedua terbanyak kejohanan bersama Rupinder Pal Singh dari India.

Bagaimanapun, anak-anak buah Stephen Van Huizen tidak boleh terlalu selesa dengan kelebihan itu kerana pencabar seterusnya, Pakistan adalah lawan sebenar mereka.

Pakistan sama seperti skuad negara dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan, namun mendahului carta Kumpulan B berdasarkan jumlah perbezaan tiga jaringan gol.

Berdasarkan pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, Malaysian Tigers seri 1-1 dengan Pakistan sewaktu Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia pada April lalu.

Setahun sebelum itu, skuad negara, No. 12 dunia, berjaya mencatatkan kemenangan 3-2 sewaktu Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh.

Kali terakhir skuad negara tewas kepada lawan ranking ke-13 dunia itu sewaktu Trofi Juara-Juara Asia 2016 dengan keputusan 2-3 menerusi penentuan penalti shoot out selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Justeru, kemenangan ke atas Pakistan malam ini (26 Ogos) di Gelora Bung Karno, Indonesia dilihat amat penting kepada laluan skuad negara ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B.

Walaupun Pakistan dikendalikan jurulatih Roelant Oltmans dari Belanda tetapi saya yakin barisan pemain negara mempunyai 'resipi' tersendiri untuk menewaskan mereka.

Advertisement

Must Watch Video