Skip to main content

Rencana

Pahang enggan kempunan lagi

pahang.jpg
Kali terakhir Pahang melayakkan diri ke pentas akhir Piala Malaysia adalah lima tahun lalu, menyaksikan mereka mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di final bagi tahun 2013 dan 2014.

Ketika itu, Pahang menerima sentuhan Dollah Salleh selaku pengendali sambil barisan hadapan diketuai oleh 'Orang Besi', Dickson Nwakaeme, sekali gus membolehkan skuad Tok Gajah itu terus bermegah dengan trofi paling berprestij di Malaysia meskipun gagal mencabar JDT di pentas Liga Super.

Dan sejak itu, seluruh warga Darul Makmur sepi menantikan kepulangan trofi Piala Malaysia memandangkan perjalanan skuad Tok Gajah sering terkandas sebelum sempat mencabar di aksi final tetapi penantian itu mungkin dapat diakhiri tahun ini.

Memiliki bekalan tiga gol di Alor Setar, Pahang yang masih bersama sentuhan Dollah dan Nwakaeme, hanya selangkah untuk menamatkan impian Kedah apabila kedua-dua pasukan akan melakukan perhitungan di Kuantan bagi aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Tidak dinafikan kehebatan skuad Lang Merah yang terkenal dengan amukan anak muda yang dikemudi oleh tonggak berpengalaman, Baddrol Bakhtiar, namun ternyata Pahang tetap memiliki kelebihan untuk meneruskan kemaraan ke final edisi kali ini.

Lebih menggembirakan kem Hitam Putih, beberapa tonggak utama yang tidak dapat turun beraksi ketika pertemuan yang berakhir 3-3 hujung minggu lalu seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Muslim Ahmad dijangka kembali memperkuatkan kesebelasan utama dan perkhabaran itu sudah pasti memberikan lebih banyak pilihan buat Dollah mencongak strategi.

Meskipun kehadiran dua pemain utama itu dilihat mampu menambah kekuatan Tok Gajah, Dollah juga perlu waspada andai kembalinya mereka boleh menggugat momentum dalam kesebelasan utama.

Malah, kemampuan mendahului dua kali di Alor Setar semestinya dijadikan azimat buat Pahang untuk sekali lagi 'membunuh' semangat skuad Hijau Kuning dan dalam masa sama memastikan tiada lagi istilah kebangkitan dicetuskan lawan.

Sebelum ini, Dollah menyuarakan hasrat untuk sekurang-kurangnya menjulang satu piala musim ini dan selepas terlepas trofi Liga Super dan Piala FA, saingan Piala Malaysia pastinya peluang terakhir buat Pahang untuk mengelak daripada terus kempunan.

Advertisement

Must Watch Video