Skip to main content

Rencana

Otai masih berbisa

shukor-adan.jpg
Dalam artikel kali ini, penulis ingin memberi tumpuan kepada lima pemain veteran (35 tahun ke atas) yang menjelmakan aksi konsisten selepas lapan aksi Liga Super musim ini.

Kelibat mereka ini membuktikan, usia bukan penghalang untuk terus bersaing di peringkat tertinggi.

1. Safee Sali (Petaling Jaya City FC)

Bekas penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 ini kini sudah menjangkau usia 35 tahun, namun masih berupaya beraksi selaku antara penyerang tempatan utama dalam Liga Super.

Selepas berhijrah dari Perlis awal musim ini, Safee gagal menemui sasaran gol dalam lima aksi pertamanya dengan PJ City.

Namun, dia kini sudah meraih dua gol buat pasukannya termasuk ketika mengikat Pahang 1-1 dalam aksi Liga Super di Kuantan, Ahad lalu.

Sesetengah pemerhati mungkin merasakan bekas pemian Pelita Jaya dan Johor Darul Ta'zim (JDT) ini sudah semakin dimamah usia untuk beraksi selaku penyerang.

Tetapi pengalaman yang dimiliki Safee adalah aset buat skuad PJ City yang dibarisi ramai tonggak muda musim ini.

2. Amri Yahyah (Selangor)

Tidak sah jika nama Amri tidak disenaraikan sebagai antara pemain veteran terbaik setakat ini.

Beberapa aksi awal musim ini menyaksikan Amri sukar berada dalam kesebelasan utama Selangor kendalian B. Sathianathan.

Namun, pemain kelahiran Tanjung Karang ini sentiasa berjuang untuk mendapat tempat sehingga akhirnya meraih kepercayaan Sathianathan.

Pemain berusia 38 tahun ini kini sudah meraih tiga gol dalam saingan Liga Super.

3. Indra Putra Mahayuddin (Kuala Lumpur)

Seorang penyerang serba-boleh yang mampu beraksi di posisi sayap, tengah menyerang dan penyerang utama. Indra yang bakal berusia 38 tahun September ini, kini hanya memerlukan tiga lagi gol dalam Liga Super untuk menjadi pemain tempatan pertama yang berjaya meraih 100 gol.

Pemain kelahiran Ipoh ini jelas masih mempunyai sentuhan magisnya dan skuad Warga Kota pasti memerlukan pengaruhnya di atas padang untuk keluar daripada kelompok dua pasukan terbawah liga.

4. Suffian Abdul Rahman (Terengganu FC)

Penjaga gol veteran, Suffian Abdul Rahman, tampak masih ampuh meskipun sudah berusia 41 tahun. Suffian juga adalah pemain tertua yang penulis senaraikan di kalangan tonggak veteran terbaik.

Kaya dengan pengalaman, Suffian sudah beraksi mewakili sembilan pasukan dalam saingan Liga Super sejak memulakan karier profesional bersama Negeri Sembilan pada 1999.

Musim ini menyaksikan pengendali skuad Peteh, Irfan Bakti Abu Salim, masih menaruh kepercayaan kepada Suffian selaku benteng akhir pasukan.

5. Shukor Adan (Melaka)

Bekas kapten skuad kebangsaan ini adalah pemain (selain penjaga gol) tertua dalam saingan Liga Super.

Shukor yang sebelum ini mengerah kudrat selama lima musim bersama Felda United, akhirnya kembali ke pangkuan negeri kelahirannya, Melaka, musim ini.

Di awal karier profesionalnya, Shukor lebih dikenali sebagai seorang pemain tengah namun kini tampil ampuh selaku bek tengah.

Ketenangan serta sifat kepimpinan yang dimiliki Shukor jelas elemen penting dalam permainannya.

Penulis sifatkan Shukor sebagai seorang pemain luar biasa dan optimis, dia mampu menjadi seorang jurulatih berjaya jika menceburi bidang kejurulatihan kelak.

Advertisement

Must Watch Video