Skip to main content

Rencana

OGS bukti kemampuan

olegunnarsolskjaer.jpg
Tidak dapat dinafikan, kemasukan Ole Gunnar Solskjaer (OGS) ke kem Manchester United memberikan nafas segar dan keharmonian dalam pasukan itu. Jika dahulu, hendak menang dengan tiga atau lebih jaringan memang sukar, jika mahu mencatatkan kemenangan konsisten juga tidak mudah, tetapi segalanya kini berubah 360 darjah.

Dalam aksi pertama sahaja, dengan barisan pemain yang sama, United mampu melakar kemenangan 5-1. Lima gol dalam satu perlawanan, sesuatu yang sudah lama tidak berlaku. Kali terakhir United meledak lima gol dalam satu perlawanan adalah ketika dibawah bimbingan Sir Alex Ferguson.

Selepas kemenangan 5-1 ke atas Cardiff City, OGS terus cemerlang melakar lima lagi kemenangan dan terbaru, mereka berjaya menundukkan Spurs di laman lawan, satu kemenangan yang amat penting buat kesemua pemain-pemain United. Keyakinan setiap pemain juga kembali terserlah dan ia dapat dilihat apabila mereka memberikan lebih daripada 100% dalam setiap aksi berdepan pasukan lawan.

Tidak ketinggalan, beberapa pemain tonggak seperti Juan Mata, Jesse Lingard, Marcus Rashford dan David De Gea yang kagum dengan cara pengendali dari Norway itu memimpin pasukan. Mereka berasa selesa dengan cara yang digunakan OGS sehingga pemain yang tidak beraksi pada tahap sebenar seperti Romero Lukaku dan Alexis Sanchez juga sudah mula dapat meningkatkan tahap permainan mereka.

Biarpun penulis bukanlah peminat Manchester United, namun tidak dapat dinafikan kebangkitan yang dipamerkan The Red Devils harus menjadi peringatan buat pasukan lain. OGS sudah meleburkan rekod Matt Busby apabila melakar enam kemenangan berturut-turut dalam penampilan pertama selaku pengurus United.

Biarpun ada cakap-cakap belakang yang mengatakan beberapa individu seperti Zinedine Zidane, Mouricio Pocchetino dan Laurent Blanc bakal menjadi pengendali tetap United, penulis beranggapan OGS adalah calon paling sesuai andai beliau mampu membawa United menamatkan musim ini dalam kelompok empat terbaik.

Advertisement

Must Watch Video