RENCANA
Nikmatilah kemenangan ini
Masih segar dalam ingatan saya bagaimana skuad bawah 23 tahun negara menghadirkan saingan hebat kepada Korea Selatan dalam perlawanan suku akhir Kejohanan AFC Bawah 23 di Kunshan, China, Januari lalu.
Ketika itu, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee hampir mengejutkan gergasi bola sepak Asia itu, namun tewas tipis 1-2 tatkala gol tunggal Malaysia dihasilkan N. Thanabalan yang menanduk masuk bola hantaran Safawi Rasid.
Walaupun hasrat untuk menumbangkan Korea tidak kesampaian, namun terbit rasa kepuasan daripada barisan kejurulatihan, pengamal media dan peminat bola sepak tanahair dengan apa yang dilakukan pemain negara.
Iklan
Manakan tidak, ramai yang tidak jangka sebenar skuad muda negara mampu menyaingi pasukan handalan seperti Korea ketika sebelumnya ada yang meramalkan Malaysia akan menjadi 'lauk' oleh pasukan lawan itu.
Pengalaman beraksi dengan Korea itu nyata mematangkan pemain negara apabila sekali lagi bertemu dalam tempoh lapan bulan kali ini dalam aksi kumpulan Sukan Asia Indonesia 2018.
Tak sangka, anak buah Kim Swee berjaya lunas dendam.
Tatkala Malaysia hadir selaku underdog, skuad Korea pula tampil dengan reputasi hebat selaku juara bertahan, malah turun ke pertemuan kedua itu dengan begitu gah selepas mereka membelasah Bahrain 6-0 pda aksi pertama.
Namun, anak buah Kim Swee yang menewaskan Kyrgyzstan 3-1 pada perlawanan pertama juga punyai keyakinan tinggi dan ia berjaya diterjemahkan atas padang dan akhirnya kejayaan bersejarah terukir di Bandung, Indonesia.
Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 hasil dua gol Safawi Rasid untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak edisi 2010 di Guangzhou, China.
Fakta lebih menarik adalah Malaysia menamatkan kemarau kemenangan selama 44 tahun di tangan Korea Selatan dalam temasya terbesar Asia itu, pada temasya Tehran 1974 di mana skuad dibarisi legenda bola sepak negara, Datuk Mokhtar Dahari menang 3-2 pada pusingan kedua sebelum menamatkan aksi dengan meraih pingat gangsa.
Namun, di sebalik kejayaan bersejarah ini, ada juga netizen yang bersikap skeptikal. Selain anggap Malaysia sekadar meraih kemenangan nasib, ada juga yang berpendapat perjalanan skuad negara tidak akan jauh.
Benar, kita tidak boleh terlalu ghairah dengan kejayaan itu, namun tidak salah jika kita meraikannya kerana saya berpendapat ia merupakan satu kemenangan luar biasa dan mungkin tidak akan berlaku lagi selepas ini.
Jadi, buat pemain dan barisan kejurulatihan negara, tahniah diucapkan dan kekalkan fokus anda untuk memastikan pencapaian terbaik dilakar pada edisi kali ini dan bagi warga bola sepak tanahair, nikmatilah kemenangan ini!
Must-Watch Video