Skip to main content

Rencana

Nicol buka muka surat baharu

nd.jpg
Datuk Nicol David menutup muka surat terakhir kariernya dalam sukan skuasy setelah tewas kepada pemain nombor 3 dunia dari Mesir, Nour El Tayeb di pusingan kedua Terbuka British. 

Juara 5 kali yang juga dikenali sebagai 'Duracell Bunny' memberi segala-galanya di aksi kompetitif terakhir dalam gelanggang yang telah menobatkannya 'Greatest of All Time'(GOAT), juga menempatkan nama Malaysia di seluruh dunia. 

Saya yang telah mengenali Nicol sejak dia berusia 7 tahun dan amat bangga menjadi rakan sepasukan serta seteru utama dalam gelanggang, setiap pergerakan dan pukulan terakhir Nicol membawa kembali memori terbaik bersama juara dunia 8 kali dari Pulau Pinang itu. 

Daripada beraksi menentang seorang kanak-kanak kecil berbaju kejohanan yang terlampau besar untuknya, kepada memikul tanggung jawab sebagai seorang kakak, rakan serumah dan rakan sepelatih di Amsterdam bermula pada tahun 2003. 

Walaupun sedikit kesal posisi nombor satu wanita negara dirampas Nicol untuk waktu yang lama, setiap perjalanan bersamanya demi menjadi pemain skuasy terbaik di dunia tidak akan saya lupa selama-lamanya. 

Sehingga kini saya bergurau jika bukan kerana saya masak dan menjaga Nicol yang masih di peringkat remaja semasa kami berpangkalan di Amsterdam, ratu skuasy negara kita tidak akan muncul sehebat ini. 

Saya ialah individu paling bertuah dapat melihat sendiri seorang remaja dari Sekolah Menengah Convent Green Lane berkembang dari tahun ke tahun menjadi seorang atlet paling lengkap dan gemilang di dunia. 

Di hadapan mata sendiri menyaksikan Nicol menjulang kebanyakan daripada 81 piala kejuaraan profesionalnya memberi pemangkin semangat buat diri dalam  karier mahupun kehidupan. 

Gelak ketawa ketika kerap kali jatuh basikal kerana jalan raya licin ketika musim sejuk semasa dalam perjalanan ke lokasi latihan, Squash City akan sentiasa diingati. 

Jauh dari keluarga, naik turun dan kegembiraan serta tangisan hanya kami berdualah meredakan dan menyokong satu sama lain.

Pada usia 35 tahun dan mencapai semua yang ditawarkan oleh dunia skuasy termasuk cipta sejarah muncul pemain nombor satu dunia 9 tahun berturut-turut, satu-satunya kekecewaan Nicol pasti tidak dapat menghadiahkan pingat emas Olimpik untuk Malaysia setelah skuasy gagal layak dalam temasya Olimpik setelah 3 kali membida. 

Setelah mengangkat topi buat kali terakhir di University of Hull dan mendedikasikan kejayaanya kepada jurulatih selama 16 tahun Liz Irving, keluarga dan komuniti sukan Malaysia, Nicol juga dijulang para peminat dan pentadbir sukan dengan mesej penghormatan di laman sosial media. 

Sebagai kakak, kapten, rakan karib, bekas rakan sepasukan, peminat, lebih-lebih lagi seorang rakyat Malaysia, terima kasih Nicol David di atas sumbangan luar biasa anda dalam sukan skuasy negara dan dunia. 

Semoga anda terus memberi inspirasi dan berjaya dalam bab baru kehidupan. 

'The Dream Remains'

Advertisement

Must Watch Video