Skip to main content

Rencana

Neymar, status termahal berpisah tiada

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

neymar-2.jpg
Kisah kepulangan Neymar ke Sepanyol sejak awal tahun ini masih belum menemui jalan penyelesaian walaupun jendela perpindahan hanya berbaki kurang dari seminggu untuk ditamatkan.

Usaha Barcelona untuk kembali mendapatkan khidmat bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu tetap gagal dilaksanakan walaupun kelab LaLiga itu bersedia untuk mempertaruhkan jumlah wang yang besar beserta beberapa pemain bagi memastikan pemain termahal dunia itu pulang ke Nou Camp.

Sebelum ini, Barca dikatakan bersedia mempertaruhkan Philippe Coutinho, Ivan Rakitic serta Ousmane Dembele dalam bidaan untuk membawa masuk semula Neymar tetapi segala usaha itu ditolak PSG.

Selepas Coutinho dilepaskan secara pinjaman ke Bayern Munich, kini Dembele dilihat sebagai harapan utama untuk juara La Liga itu meraih semula Neymar walaupun Presiden Barcelona, Josep Bartomeu, pernah menyifatkan pemain Perancis itu jauh lebih baik berbanding ayam tambatan Brazil itu.



Bagaimanapun, kemungkinan untuk melihat perpindahan dua hala melibatkan dua pemain itu masih boleh direalisasikan sekiranya PSG bersetuju untuk melepaskan Neymar dan menerima kehadiran Dembele menerusi pinjaman.

Pengarah Barcelona, Javier Bordas, mendedahkan perbincangan dengan juara Ligue 1 itu semakin hampir menuju jalan penyelesaian selepas berbincang dengan wakil PSG selama sekitar empat jam, melibatkan yuran perpindahan bernilai £153 juta (RM786.1j).

Situasi itu bermakna Barcelona bersedia menjadikan Neymar pemain termahal dalam sejarah kelab Catalan itu, mengatasi jumlah £142j yang dibelanjakan sewaktu membawa masuk Coutinho daripada Liverpool.

Akan tetapi apa yang menjadi penghalang utama untuk Neymar memenuhi hasrat meninggalkan Paris adalah situasi yang melanda pasukan kendalian Thomas Tuchel ketika ini.

PSG kini hanya memiliki dua bekas pemain Stoke City, Jese Rodriguez dan Eric Maxim Choupo-Moting, untuk diharapkan di barisan depan selepas Edinson Cavani dan Kylian Mbappe mengalami kecederaan.

Jadi, sudah tentu PSG tidak sewenang-wenangnya melepaskan Neymar kerana selain menjadi aset utama kelab, dia juga harapan utama buat PSG bagi menampung ketiadaan Mbappe dan Cavani.

Advertisement

Must Watch Video