Skip to main content

Rencana

Neymar: Daripada puji kepada caci-maki

neyema-1_1.jpg
Tiada jalan nampaknya untuk Neymar kekal lebih lama di Paris Saint-Germain (PSG) melainkan angkat bungkus secepat yang boleh.

Berlawanan dengan Paul Pogba yang masih boleh diterima di Manchester United di sebalik niat perpindahannya ke Real Madrid tertangguh, bintang Brazil itu pula sudah tertutup daripada pintu hati penyokong kelab ibu kota Perancis itu.



Ia sudah sampai kepada keadaan kata-kata kesat dan lucah dihamburkan sewenang-wenangnya terhadapnya hinggakan tiada lagi cenderamata berkaitan dengannya dapat ditemui di kedai memorabilia kelab berkenaan.

Daripada disambut dengan kata-kata puji ketika ketibaannya di Parc des Princes dengan yuran perpindahan rekod dunia €222 juta (RM1.04 bilion) daripada Barcelona dua tahun lalu, apa yang tinggal kini hanya caci-maki.

Semua itu gara-gara dia menyuarakan hasratnya untuk sama ada kembali ke pangkuan Barca atau menyertai pasukan seteru rapat di Sepanyol, Real Madrid.

Mengharapkan penyokong PSG memahami, mereka sebaliknya mengeji seorang bintang yang telah menjaringkan 51 gol dalam 58 perlawanan selama dua musimnya bersama Les Parisiens itu yang turut dua kali direncatkan oleh kecederaan kaki yang serius.



“Berambus”, “Persetan kamu dari sini,” demikian antara mesej lantang penyokong menerusi kain rentang ketika PSG memulakan cabaran selaku juara bertahan ketika menundukkan Nimes 3-0 kelmarin, seperti dilaporkan akhbar The Sun, tanpa Neymar berada di stadium.

Satu sepanduk yang direntangkan oleh Ultras PSG tertulis: "Neymar, **** off".

Jelas sekali apa jua hubungan Neymar dengan penyokong PSG sudah terputus, yang tidak memungkinkannya untuk kekal sekalipun cadangan perpindahannya ke Sepanyol tidak terlaksana menjelang tarikh akhir jendela perpindahan 9 September depan.

Andai sambutan sedemikian dianggap panas, ia tambah berbahang apabila adik perempuan Neymar, Rafaella Santos, 23, dilaporkan akhbar The Mirror sebagai menggunakan media sosial untuk menempelak penyokong PSG dengan kata-kata lucah.



Mengingatkan mereka bahawa PSG tidak akan menang apa-apa tanpa Neymar – dengan 34 gol daripada 37 penampilan Ligue 1 semata-mata – dia menulis: “Betapa kamu semua menjijikkan. Kamu semua mengharapkan dia (Neymar) kekal. Kamu tidak akan menang apa-apa tanpanya. F******”.

Dengan paras raksa dalam isu itu terus meningkat,  satu video tular di atas talian menunjukkan semua cenderamata berkaitan dengan Neymar telah ditarik keluar daripada rangkaian kedai cenderamata rasmi PSG mulai semalam.

Neymar sendiri yang mendesak perpindahan keluarnya daripada PSG musim panas ini, dengan presiden kelab itu, Nasser Al-Khelaifi, sedia melepaskannya asalkan bidaannya bertepatan – tidak kurang daripada harga pembeliannya dua tahun lalu.



Akhbar Marca melaporkan dari Sepanyol bahawa Real Madrid harus lebih dahulu menjual Gareth Bale, James Rodriguez dan Mariano untuk mendapatkan dana bagi membeli penyerang berusia 27 tahun itu.

Terbaru, dilaporkan Lionel Messi secara sulit mendesak pemain itu agar menolak tawaran Real Madrid dan sebaliknya kembali ke Barcelona.

Pengurusan Barcelona diura-urakan bertemu PSG hari ini untuk memancing Neymar dan bersedia menawarkan Philippe Coutinho sebagai sebahagian pertukaran.

Melihat kepada reaksi penyokong di Parc des Princes kelmarin, PSG mungkin mahu melepaskan Neymar sesegera mungkin.

 

Advertisement

Must Watch Video