Skip to main content

Rencana

Nasib berbeza Vingada, Bernhardt

nelo-vingada.jpg
BAGI pemerhati bola sepak tempatan yang mengikuti perkembangan sejak berdekad lalu, mereka sedar Eduardo Vingada pernah menjejakkan kaki ke Stadium Shah Alam pada 1997 selaku ketua jurulatih Arab Saudi.

Segar dengan reputasi selaku jurulatih yang merencana kemaraan Portugal ke separuh akhir Sukan Olimpik 1996, “Nelo” Vingada tampil membimbing Arab Saudi yang berteraskan kombinasi penjaga gol, Mohamed Al Deayea,  bek kiri, Hassan Sulimani, pemain tengah berkaki kiri, Khalid Muwalid, Khalid Al Temawi dan Obeid Al Dosari.

Dalam pertemuan pra-Piala Dunia pada tanggal 18 Mac dua dekad yang lalu, Malaysia yang diterajui Wan Jamak Wan Hassan, mengikat Arab Saudi tanpa jaringan, sedikit-sebanyak hasil ketangkasan Khairul Azman Mohamad mengawal gawang.

Namun, dalam pertemuan timbal balik di Jeddah, 11 hari kemudian, Khairul Azman tertewas tiga kali.

Benteng yang dianggotai Zami Mohd Noor, Zainal Abidin Hassan, Azmil Azali dan Nazri Yunos tidak terdaya melawan daya kreativiti dan tipu helah anak buah Vingada. 

Seperti yang penulis dedahkan apabila menjadi panel jemputan Bola@Mamak malam tadi, Vingada sebenarnya mencuba nasib dengan memohon jawatan ketua jurulatih pasukan Sukan SEA pada 2015.

Vingada tersenarai dalam kelompok akhir bersama Edgar Borges, Mariano Barreto, Carlos Sanchez Rubio, Michael Weiss dan Frank Bernhardt yang ditemu bual oleh panel yang antara lain dianggotai B. Sathianathan, Datuk Junid Mohd Noor, Keith Power dan Fritz Schmid. 

Senarai itu kemudian dipendekkan kepada Bernhardt dan Weiss sebelum nama Datuk Ong Kim Swee dimasukkan oleh FAM.

Begitulah putaran kehidupan seorang jurulatih.

Pada saat Bernhardt terpilih untuk merencanakan skuad Sukan SEA dari 2016 hingga dipecat oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Vingada meneruskan kerjaya di India.

Beliau akan kembali menjejakkan kaki ke Malaysia dengan reputasi sebagai seorang jurulatih bertaraf profesor.

Jika FAM mahu menjadikan Vingada sebagai seorang pakar teknikal yang boleh berkongsi maklumat dengan jurulatih tempatan, pastikan satu konvensyen disertai semua jurulatih – dari Liga Super hingga ke peringkat Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) dan sekolah -- dianjurkan disudahi dengan sesi soal jawab dan amali.

Ada tiga jurulatih sebelum ini yang cenderung mengajar jurulatih tempatan, Dettmar Cramer pada 1960-an yang dikirim oleh Jerman untuk mendidik jurulatih di Asia, termasuk di Malaysia, Karl Weigang yang tiba pada asalnya di Kuala Lumpur untuk mengendalikan kursus, serta Josef Venglos, yang dilamar oleh Kuala Lumpur sebelum dilantik oleh FAM mengurus skuad kebangsaan.

Bertalan Bicskei, jurulatih import terakhir sebelum Vingada, hadir di Kuala Lumpur pada Julai 2004 dengan reputasi sebagai master coach, atau jurulatih pakar yang menerbitkan bukunya Preparation of The Generation of Soccer Players tetapi malangnya tidak mendapat kerjasama penuh daripada pemegang kepentingan tempatan, sebaliknya dihumban keluar FAM pada September 2005.

Hanya beberapa jam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Budapest melalui Vienna, Bicskei tidak membuang masa meninjau latihan pasukan bawah 20 tahun kebangsaan yang dikendalikan oleh Jorvan Vieira.

Bicskei tampil dengan reputasi disegani. Beliau adalah individu kedua yang ada pengalaman membimbing pasukan negara dari Eropah untuk mencuba nasib di Malaysia, selepas Venglos yang terlebih dahulu dipancing mengurus Kuala Lumpur pada 1985.

Venglos merencanakan kemaraan Czechoslovakia ke Piala Dunia 1982 dan penolong jurulatih ketika negara itu menjuarai Kejohanan Eropah pada 1976, manakala Bicskei mengendalikan pasukan senior dan remaja Hungary.

Dalam senarai panjang jurulatih import sepanjang lima dekad lalu, Claude Le Roy memiliki pengalaman mengurus skuad kebangsaan di Afrika bersama Cameroon dan Senegal. Le Roy membimbing Ghana dan Togo selepas meninggalkan Malaysia.

Nama-nama seperti Otto Westphal, Cramer, Harold Hassall, Dave McLaren dan Weigang dilantik secara ad-hoc mengikut misi, manakala Frank Lord, Trevor Hartley, Richard Bate, Ken Worden, Hatem Souissi dan Allan Harris tiada pengalaman melatih pasukan kebangsaan sewaktu dilantik oleh FAM.

Tekanan yang dihadapi Bisckei akhirnya mewujudkan “pertempuran” dengan media.

“Soalan anda (kelompok wartawan) seolah-olah Malaysia pernah memenangi Piala Dunia,” bentak Bicskei dalam satu sidang akhbar.

Pada pandangannya, wartawan sukan tempatan hidup dalam istana impian di awang-awangan. Jelasnya, penulisan dan soalan golongan wartawan tidak berpihak di mayapada.

Ini kerana dalam tempoh setahun dua bulan, Bisckei menggariskan tiga kelemahan ketara yang membantutkan proses pembentukan pasukan kebangsaan yang baik.
 
1.    Pasukan dan kelab tempatan tidak berlatih dengan tahap intensiti tinggi disebabkan cuaca tidak mengizinkan. Cuaca panas tidak kondusif untuk latihan keras sama ada fizikal dan teknikal.

2.    Seorang pemain secara individu tidak dilengkapi dengan ilmu formatif yang betul.

3.    Orang Malaysia, rumusnya, baik dan tidak memiliki naluri untuk menjadi juara.

Namun begitu, dalam tempoh setahun, Bicskei menggunakan 46 pemain dan mencatat lapan kemenangan, satu seri dan lapan kekalahan dalam 17 perlawanan antarabangsa, sambil membantu menaikkan kedudukan Malaysia dari 124 ke 111 dalam senarai ranking FIFA.

Vingada pula tiba pada saat tekanan memuncak di saat ruang layak ke Piala Asia secara merit masih terbuka.

Soalnya, apakah rumusan Bisckei 12 tahun yang lalu masih boleh diterima pakai?

Apakah VIngada memiliki sentuhan magis mengubah nasib pasukan negara?

 

Advertisement

Must Watch Video