Saat skuad Piala Thomas 2016 diumumkan pasti ada sebilangan pihak yang mempersoal mengapa nama bekas Juara Remaja Dunia, Zulfadli Zulkifli disingkirkan.
Kesempatan diberi untuk menawarkan pandangan terhadap wajah skuad Piala Thomas 2016 negara bukan untuk menghentam, mempersoal atau mengkritik mana-mana individu atau Persatuan Badminton Malaysia, BAM.
Pemilihan Datuk Lee Chong Wei sebagai perseorangan pertama adalah pendekatan paling logik untuk memastikan Malaysia berpeluang ke final di Kunshan, China nanti, perlu ingat,Malaysia turun dengan status sebagai naib juara.
Soal misi emas Chong Wei di Olimpik Rio atau kebarangkalian dia mengalami kecederaan serius ketika kempen Piala Thomas,itu simpan untuk hari lain……
Iskandar Zulkarnain Zainuddin akan memainkan peranan sebagai perseorangan kedua berdasarkan ranking dunia dan prestasi semasa, sejak bergelar juara kebangsaan hujung tahun lalu Iskandar sudah membuktikan dia pemain terbaik negara selepas Chong Wei.
Malah aksi Kejohanan Berpasukan Asia di Hyderabad,India Februari lalu,Iskandar menampilkan kredibiliti sebagai perseorangan yang mampu menangani tuntutan tekanan tinggi.
Lihat sahaja dia ketika menentang Ajay Jayaram, boleh layari Youtube, pertemuan suku akhir menentang tuan rumah India dengan dia memastikan cabaran Malaysia terus bernyawa susulan ketinggalan 2-0.
Jadi pemilihan skuad negara bagi baki dua tempat ke Kunshan berwajah perebutan tiga penjuru antara Chong Wei Feng,Goh Soon Huat dan Zulfadli Zulkifli.
Wei Feng dipilih atas dasar pengalaman beraksi dalam saingan berpasukan elit dan tidak keterlaluan untuk meletakkan dia sebagai pemain terbaik negara pada edisi dua tahun lalu.
Mengenang kembali,pasti terkilan dia tewas satu-satunya perlawanan dalam kempen itu kepada Kento Momota di final.
Tinggal satu lagi tiket, antara Soon Huat dan Zulfadli….
Dalam saingan berpasukan, ranking dunia bukan sandaran utama untuk melengkapkan ramuan sebuah skuad berkualiti yang memerlukan kemampuan mencipta keserasian dan menangani bahang memikul nasib harapan sebuah negara,
Kerana itu Soon Huat jadi pilihan melengkapkan skuad Piala Thomas negara.
Tetapi jangan biarkan senario ini mengubah pandangan anda terhadap Zulfadli kerana hakikatnya dia masih pemain yang berbakat dengan setiap kemampuan cipta keajaiban berupaya terbit daripada sekilas pergelangan tangan bekas Juara Remaja Dunia ini.
Mungkin itu masalahnya, gelaran Juara Remaja Dunia yang terlalu dijulang sehingga ada yang terlepas pandang, mantan seperti Kento Momota,Viktor Axelsen sudah menggegar kelompok sepuluh terbaik dunia.
Kadang tersentak memikir mengapa Zulfadli tidak lebih berani untuk mengorak langkah sendiri, cuba berguru dengan Chong Wei dalam skuad kebangsaan sewaktu kesempatan masih ada.
Ramai tahu sukar untuk membelakangi dinasti keluarga yang jadi tunjangan usaha Zulkifli Sidek yang ada setiap impian melihat anaknya Zulfadli merealisasikan mimpi jadi Juara Dunia.
Pada penghujung hari hanya Zulfadli tahu apa dia nak, apa yang perlu dia lakukan, Nak kecoh apa lagi………...