Skip to main content

Rencana

Musim jurulatih muda pamer potensi

nafuzi.jpg
Saingan Liga Super 2019 sudah pun berakhir dengan aksi minggu lalu dan bagi penulis, saingan kali ini turut menjelmakan potensi beberapa jurulatih muda.

Pengendali Felda United, Nidzam Jamil, adalah antara yang mencuri perhatian penulis dalam saingan musim ini.

Ternyata ia bukan mudah buat Nidzam mengendalikan skuad Felda musim ini selepas pihak pengurusan kelab itu tidak lagi memberi peruntukan kewangan yang banyak seperti sebelum ini.

Ia sekali gus menyaksikan beberapa nama-nama besar dalam skuad Felda seperti Shukor Adan, Farizal Harun dan awang import, Thiago Agusto Fernandes, mencari haluan baru.

Namum, pengendali berusia 39 tahun ini berjaya juga memastikan “The Fighters” kekal semusim lagi di Liga Super.

Penulis percaya bekas pertahanan Selangor dan kebangsaan ini mempunyai prospek cerah sebagai jurulatih yang berjaya di masa depan.

Nafuzi Zain adalah seorang lagi jurulatih muda yang tampak memiliki potensi yang cukup baik sebagai seorang jurulatih.

Meskipun sekadar menamatkan saingan Liga Super di tangga kelapan bersama Terengganu FC, ia sebenarnya bukan tugas mudah buat Nafuzi.

Bekas pemain skuad Piala Dunia Remaja 1997 ini mengambil alih daripada Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan pada pertengahan musim.

Sudah pasti ia satu tugasan sukar mengambil alih daripada seorang jurulatih yang cukup berpengalaman seperti Irfan.

Namun, Nafuzi tetap berupaya mengekalkan kestabilan pasukan sehingga ke hujung musim.

Penulis berharap, pengurusan skuad Peteh akan terus memberi peluang buat pengendali berusia 41 tahun ini terus mengendalikan pasukan musim depan.

Apa pun situasi berbeza pula dialami seorang lagi jurulatih muda di Liga Super musim ini iaitu Rosle Md Derus.

Pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) secara mengejut merehatkan Chong Yee Fatt sebagai ketua jurulatih di penghujung musim dan menaikkan Rosle sebagai pemangku jurulatih pasukan.

Tetapi tidak seperti Nidzam dan Nafuzi, Rosle seakan kurang mendapat sokongan pengurusan pasukan, apabila KLFA tidak memberi seorang penolong jurulatih buat Rosle.

Jadi ia tidak menghairankan skuad warga kota menamatkan saingan musim ini di tangga tercorot.

Penulis  mengenali Rosle sejak di zaman sekolah menengah, ketika bekas pemain skuad Olimpik 2000 itu mula mencipta nama di saingan bola sepak peringkat Zon Bangsar, Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan dulu.

Justeru, penulis berani mengesahkan Rosle turut memiliki potensi untuk berjaya sebagai seorang jurulatih seperti Nidzam dan Nafuzi.

Namun, seorang jurulatih muda jelas memerlukan sokongan dan kepercayaan pengurusan pasukan untuk berjaya sebagai jurulatih.

Apa pun, penulis berharap ketiga-tiga Nidzam, Nafuzi dan Rosle akan kekal terbabit dalam mengendalikan mana-mana pasukan Liga Super mahu Perdana musim depan.

Advertisement

Must Watch Video