Tahniah buat pasukan badminton Malaysia, khususnya buat pasangan beregu campuran dan lelaki yang menghadirkan pingat perak di pentas olimpik, serta kejayaan Datuk Lee Chong Wei yang menewaskan musuh tradisinya, Lin Dan dalam aksi separuh akhir yang mendebarkan.
Namun sepanjang perlawanan yang ditempuhi mereka, kesilapan ketara yang kita boleh lihat adalah daripada segi melakukan servis. Pemain seperti Chan Peng Soon dan Goh V Shem seperti menghadapi masalah kerana seringkali servis mereka dibatalkan oleh juri servis kerana melepasi paras dada.
Itu mengingatkan saya tentang kehebatan Malaysia dalam arena badminton kerana kita pernah mencipta sejarah memperkenalkan "Servis S".
Servis S diperkenalkan oleh adik-beradik Sidek sehingga menjadi topik hangat arena badminton ketika itu kerana dianggap berbahaya disebabkan tekniknya yang mampu mengelirukan dan menyukarkan lawan untuk membalasnya.
Cara untuk melakukan servis ini agak rumit, namun efektif untuk melumpuhkan lawan.
Bulu tangkis akan dihalakan ke bawah, tidak seperti kebiasaan dalam posisi ke atas. Pemukul akan memukul bahagian bulu dan bukan bahagian 'cork' seterusnya ini menyukarkan pemain lawan untuk mengagak arah bulu tangkis bagi membalas pukulan.
Kehebatan servis S ini ternyata memberi kelebihan buat adik-beradik Sidek apabila pada tahun 1982, gandingan Razif dan Jailani Sidek berjaya merangkul kejuaraan All England menewaskan Billy Gilliland dan Dan Travers 8-15, 15-9, 15-10.
Antara lawan yang pernah menyaksikan kehebatan servis S adalah pengarah teknikal BAM, Morten Frost.
Deretan kejayaan gandingan ini dibantu dengan servis S yang dicipta mereka, maka wujudlah pelbagai pihak ketika itu mahu mengharamkan servis ini.
Akhirnya, sekitar penghujung 1980an, IBF (Persekutuan Badminton Antarabangsa) yang kini dikenali sebagai BWF (Persekutuan Badminton Dunia) mengharamkan pengunaan servis ini setelah menerima desakan daripada pelbagai pihak.
Namun andai servis masih digunapakai dalam sistem permainan sekarang, mampukah Malaysia mendominasi sukan dan menamatkan kemarau emas olimpik sejak 1956?