RENCANA
Morbidelli cuak
Pelumba baru Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Franco Morbidelli, mengakui kini diliputi perasaaan bercampur aduk menjelang aksi sulung MotoGP 2019.
Ketika ini beliau amat yakin kemampuan jentera Yamaha YZR-M1 yang akan digunakannya dalam saingan 2019 nanti. Morbidelli merasakan ia sebuah jentera yang mudah untuk mencapai ke tahap maksimum dan ia adalah sesuatu yang mengejutkan. Katanya, "Apabila anda mencapai tahap berkenaan, ia akan membawa anda ke peringkat yang lebih tinggi."
Akan tetapi di sudut yang lain beliau mengakui tertekan dengan harapan tinggi yang diletakkan keatasnya. Namun, dengan sokongan serta kerjasama yang baik dalam pasukan beliau yakin masalah itu dapat diselesaikan dan memberi bayangan bahawa pasukannya bakal menjadi antara pencabar terkuat dalam saingan musim hadapan.
Iklan
Semasa ujian pasca musim di Valencia dan Jerez, Sepanyol bulan lalu, pelumba Itali berdarah Brazil ini mengakui bahawa proses adaptasinya bersama M1 berjalan dengan sangat baik. Hasilnya beliau meraih kedudukan keenam keseluruhan dan ini menunjukkan satu petanda positif bagi menghadapi aksi musim hadapan. Walaupun mengakui amat selesa dengan jenteranya itu, beliau berasakan beberapa perkara harus diperhalusi dan segala kelemahan harus diperbaiki segera.
Pelumba berbakat besar itu juga telah membuktikan kemampuannya pada musim ini apabila muncul pendatang baru terbaik dan ini mendorong pasukan SRT menawarkan kontrak untuk bersama dengan mereka.
Bersama pasukan yang baru dibentuk semestinya menjadi cabaran besar buat Morbidelli. Oleh itu, setiap orang harus berkerjasama serta memainkan peranan masing-masing dengan baik supaya segala perancangan dan sasaran dapat diikuti sepenuhnya.
Sasaran utama pelumba berusia 24 tahun itu pada musim hadapan adalah untuk meraih gelaran Pelumba Pasukan Bebas Terbaik, namun begitu Morbidelli mengakui perlu berkerja keras untuk mencapainya kerana saingan musim hadapan pastinya akan bertambah sengit dan meletakkan Marc Marquez sebagai pilihan meraih gelaran juara dunia.
Must-Watch Video