Skip to main content

Rencana

Modric punya cerita mengejutkan

modric.jpg
Mengejutkan! Luka Modric terus menjadi rebutan pasukan besar tapi anehnya, ada yang tidak mahu mengeluarkan sesen pun untuk menagih kudratnya.

Ia bukanlah cerita yang biasa-biasa dalam kancah bola sepak Eropah, malah harus dianggap sesuatu yang tidak masuk akal.

Ia berikutan pendedahan Presiden Real Madrid, Florentino Perez, yang mendakwa Inter Milan cuba menandatangani Modric tanpa mahu membayar buat bintang barisan tengah itu.

Modric, yang baru dimasyhurkan selaku Pemain Terbaik Tahunan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) 2017-18 dalam satu majlis anugerah di Monaco kelmarin, ditonjolkan sebagai sasaran utama pembelian Inter selepas kecemerlangan yang diperagakannya dalam Piala Dunia di Perancis, Jun-Julai lalu.

Cuma, kelab Serie A itu masih gagal untuk mendatangkan kapten Croatia berusia 32 tahun itu ke Milan.

Lantaran itu, dilaporkan juga Real Madrid sudah menghantar aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), mendakwa Inter menghubungi pemain itu secara tidak sah dengan niat untuk menyempurnakan perpindahannya melalui pintu belakang.

Sebagai tindak balas, kelab Serie A itu mengesahkan tindakan undang-undang terhadap Presiden LaLiga, Javier Tebas, gara-gara kritikannya ke atas Inter dalam pemburuannya mendapatkan Modric.

Modric sendiri menyifatkan laporan yang mendakwa kononnya dia yang menghubungi Inter bagi mencetus prospek untuk berpindah sebagai “perkara paling mengarut dalam sejarah.”

“Saya tidak pernah melihat sebuah kelab yang mahu membeli pemain nombor 10 kami tanpa perlu membayar,” Perez dipetik sebagai memberitahu wartawan.

“Ini adalah kali pertama ia berlaku dalam hidup saya.”

Pada masa yang sama, sebarang harapan mana-mana kelab untuk mendapatkan pemain itu dalam waktu terdekat ini harus sia-sia apabila Modric sendiri mengumumkan dia amat menikmati waktu bersama kelab juara Eropah itu.

“Saya berada di kelab terbaik di dunia,” katanya selepas memintas bekas rakan sepasukan, Cristiano Ronaldo, untuk anugerah di Monaco itu.

“Saya mahu terus berada di sini (Madrid).

“Saya bukan sekadar gembira, malah saya teramat gembira di sini, ia sangat tenang. Saya hanya mahu terus melakukan perkara yang baik-baik, sama seperti sepanjang enam tahun lalu.

“Saya telah bekerja keras untuk mencapai setinggi yang boleh, jadi saya bersyukjur berada di sini. Ini adalah tahun terbaik dalam karier saya secara kolektif mahupun individu, saya menikmatinya dan akan terus bekerja keras,” katanya.

Lagipun, Modric, yang masih mempunyai kontrak sehingga Jun 2020, diletakkan tanda harga €750 juta (RM3.6 bilion) di atas kepalanya.

Tiada kelab yang akan berani kecuali, seperti yang dikatakan Perez, mahu mencurinya seperti Inter.

 

Advertisement

Must Watch Video