Skip to main content

Rencana

Misteri taktikal Irfan

irfan-bakti.jpg
Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim dan Felda United antara dua pasukan hebat yang ditumbangkan Terengganu hasil sentuhan Irfan Bakti Abu Salim dalam kempen Piala Malaysia 2018.

JDT tumpas kepada skuad Peteh di peringkat separuh akhir dengan agregat 3-2, manakala Felda United dikalahkan dalam perlawanan suku akhir menerusi agregat 6-4.

Saya membuat liputan salah satu perlawanan suku akhir dan separuh akhir pasukan Pantai Timur itu dan berdasarkan pemerhatian saya percaturan taktikal Irfan antara resipi utama kemaraan mereka ke final.

Ia satu kombinasi lengkap apabila arahan jurulatih dapat disempurnakan oleh pemain di atas padang.

Pertama, ketika aksi suku akhir kedua antara Terengganu dan Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu pada 28 September lalu apabila tuan rumah pada satu ketika ketinggalan 0-2.

Namun, Irfan melakukan pertukaran membawa masuk pemain lincah, Faiz Nasir dan Abdul Malik Mat Ariff dan tindakan itu memberikan lebih idea untuk menyerang sebelum Terengganu berjaya merakam kemenangan 4-3.

Kedua, ketika aksi timbal balik separuh akhir bertemu skuad Harimau Selatan di Stadium Larkin Sabtu lalu. Terengganu 'kena' dua gol tetapi bangkit mengikat kedudukan 2-2 selepas Irfan membawa masuk Ashaari Samsuddin.

Dua situasi itu jelas membuktikan percaturan taktikal pengendali berusia 67 tahun itu menjadi. Saya juga boleh katakan Faiz, Malik dan Ashaari sebagai tiga pemain yang boleh mengubah permainan pasukan Terengganu pada bila-bila masa.

Namun, persoalannya kini apa percaturan taktikal Irfan untuk berdepan Perak? Adakah Faiz, Malik dan Ashaari akan diturunkan serentak untuk membentuk gandingan bersama Lee Tuck dan Tchetche Kipre dalam formasi 4-4-2, 4-5-1 atau 4-2-3-1?

Itulah yang menjadi misteri ketika ini. Mengenali rapat Irfan, jurulatih ini akan membuat percaturan taktikalnya berdasarkan siapa lawan dan apakah kekuatan lawan.

Jelas, pertembungan epik antara Perak dan Terengganu amat dinanti-nantikan termasuklah misteri taktikal Irfan.

Advertisement

Must Watch Video