RENCANA
Misi kita ke Piala Asia 2023, bukan Piala Dunia 2022
Boleh ke Malaysia layak ke Piala Dunia? Persoalan itu banyak kali diajukan oleh kenalan saya apabila skuad negara terbabit dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022.
Jawapan saya mudah, skuad negara fokus untuk layak ke Piala Asia 2023 dan bukan ke Piala Dunia yang berlangsung di Qatar itu nanti. Bukan memperkecilkan kemampuan Harimau Malaya tetapi itu adalah realiti semasa skuad negara.
Malah, sasaran ke Piala Asia 2023 juga ada dalam Peta Hala Tuju atau 'Road Map' Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM F:30.
Iklan
Jadi, usah 'pening kepala' memikirkan atau mencongak peluang skuad negara ke Piala Dunia.
Bagaimanapun, misi ke Piala Asia 2023 bukan mudah seperti yang disangka kerana cabaran lebih getir menanti skuad negara selepas berjaya melepasi aksi play-off kelayakan menewaskan Timor Leste dengan agregat 12-2.
Skuad negara akan bersaing dalam pusingan kedua kelayakan membabitkan 40 pasukan dibahagikan kepada lapan kumpulan yang mengandungi lima pasukan setiap kumpulan.
Malaysia perlu menjadi juara atau naib juara kumpulan kerana pusingan kedua kelayakan menawarkan 12 slot automatik ke Piala Asia 2023 menerusi lapan juara kumpulan dan empat naib juara terbaik.
Pusingan ketiga kelayakan yang sudah mengesahkan kemaraan ke Piala Asia 2023 pula merupakan halangan terakhir sebelum ke pusingan akhir Piala Dunia.
Ia membabitkan 12 pasukan yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke Qatar.
Apapun, Malaysia berpeluang untuk bersaing dalam pusingan kedua kelayakan apabila tampak berjaya mengelak daripada menduduki balang terakhir daripada lima balang keseluruhan untuk undian.
Mengikut perkiraan tidak rasmi, Malaysia berjaya mengatasi beberapa negara seperti Indonesia, Singapura dan Nepal dalam kedudukan ranking dunia untuk berada dalam balang 4.
Majlis undian di Bukit Jalil 17 Julai ini dan kedudukan pasukan dalam setiap balang akan ditentukan mengikut ranking FIFA awal bulan depan.
Must-Watch Video



