Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Rencana

Misi Emas Pertama Olimpik Malaysia: Mulakan Strategi, Tinggalkan Simpati!!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hadafi.jpg
Malaysia masih belum mencapai kejayaan memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik walaupun telah menyertainya sejak 1956. Walaupun beberapa pencapaian pingat perak dan gangsa telah dicapai dalam sukan seperti badminton, terjun dan berbasikal, misi emas masih belum menjadi kenyataan.

Dalam usaha mencapai impian ini, pendekatan yang lebih strategik dan proaktif perlu menggantikan reaksi emosional atau bersifat ad-hoc yang sering kali hanya muncul selepas kegagalan atau kritikan umum.

Strategi utama negara adalah dengan mengenal pasti dan melabur secara berfokus dalam sukan-sukan berpotensi tinggi seperti badminton, berbasikal trek, memanah, gimnastik artistic dan lain lain.

Pemilihan ini perlu berdasarkan data sejarah prestasi, bilangan acara yang dipertandingkan, serta peluang sebenar untuk menang. Sumber seperti dana, fasiliti, sains sukan dan jurulatih elit perlu dioptimumkan kepada sukan-sukan teras ini berbanding pendekatan 'sapu semua' yang membazir sumber.

Program pembangunan akar umbi dan identifikasi bakat perlu di jalankan secara sistematik, bermula dari peringkat sekolah rendah sehingga universiti. Setiap negeri boleh diberi tanggungjawab membangunkan satu pusat sukan strategik nasional.

Atlet muda berpotensi kemudiannya di tempatkan dalam sistem sokongan berasaskan prestasi, termasuk sekolah sukan, institusi latihan elit seperti akademi JDT dan akademi Mokhtar Dahari serta pendedahan antarabangsa berterusan tanpa gangguan politik.

Aspek pengurusan sukan di Malaysia perlu bebas daripada campur tangan politik dan budaya pilih kasih. Pemimpin sukan harus terdiri daripada mereka yang berpengetahuan dan berkelayakan dalam pengurusan prestasi tinggi dan bukan atas lantikan politik semata mata.

Pemilihan atlet perlu telus dan dibimbing sehingga berjaya. Objektif setiap persatuan sukan kebangsaan juga perlu terikat dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berkala yang memfokuskan kepada kelayakan dan pencapaian di Olimpik Dunia.

Penggunaan teknologi sukan seperti biomekanik, analisis data, sistem pemantauan latihan, dan intervensi psikologi sukan adalah keperluan, bukan pilihan lagi. Kolaborasi antara Institut Sukan Negara (ISN), universiti tempatan dan pusat kecemerlangan sukan luar negara harus digiatkan bagi membina sistem latihan berasaskan bukti, bukan semata-mata pada pengalaman atau kebiasaan lama. Teknologi semakin canggih, akan tetapi pencapaian kian kebelakang, dimana silapnya.

Aspek kesihatan mental, motivasi intrinsik dan keseimbangan kehidupan atlet perlu diberi penekanan yang lebih serius. Atlet elit perlu diberi akses kepada latihan psikologi sukan, sokongan kerjaya pasca persaraan, dan sistem sokongan keluarga yang kukuh agar mereka kekal fokus kepada prestasi jangka panjang, bukan hanya untuk kejayaan jangka pendek. Atlet juga perlu digalakan mendapatkan Pendidikan formal agar sijil akademik tersebut boleh digunakan setelah bersara dalam arena sukan.

Penyertaan berterusan dalam pertandingan antarabangsa berprestij seperti Kejohanan Dunia, Siri Dunia dan Liga Profesional adalah penting bagi memantapkan keyakinan dan pengalaman atlet.

Malaysia juga perlu berperanan sebagai tuan rumah kejohanan antarabangsa secara konsisten bagi membina budaya kompetitif dalam negara. Pendekatan memohon menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa dapat mengatasi isu atau masalah tiada dana untuk hantar atlet negara berlatih atau bertanding di luar negara.

Impian meraih emas pertama Olimpik bukan mustahil tetapi memerlukan disiplin strategi yang berterusan, bukan lonjakan emosi jangka pendek. Ia harus menjadi misi nasional yang di kongsi oleh semua pemegang taruh — kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, dan masyarakat.

Hanya melalui pendekatan menyeluruh dan bersifat jangka panjang, Malaysia mampu menobatkan Jalur Gemilang di podium tertinggi dunia.Tuntasnya, negara Jiran kita dalam Asia Tenggara telah berjaya buktikan mereka mampu capai emas olimpik pertama dunia, kini kita tiada lagi alasan untuk pecahkan kebuntuan tersebut. Pegang tangan erat erat, bersama capai kejayaan demi Negara.


Disediakan oleh:
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Pensyarah Kanan Sains Sukan
Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi
Universiti Teknologi Malaysia

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video