Skip to main content

Rencana

Minggu cemerlang buat empat bintang muda

shahrel-fikri.jpg
Minggu lalu sebenarnya adalah minggu cemerlang buat empat pemain muda bola sepak negara yang mencuri tumpuan.

Bekas penyerang dan kapten PKNP FC, Shahrel Fikri Md Fauzi, yang kini bersama kelab Liga Satu Thailand, Nakhon Ratchasima, akhirnya menemui sasaran gol di liga negara jiran itu selepas enam perlawanan.

Shahrel menemui sasaran gol ketika meraih jaringan ketiga pasukannya berdepan Ranong United dalam saingan Piala Liga Toyota, 5 Ogos lalu.

"Walaupun bukan aksi liga, tetapi ia gol penting buat saya terus beraksi dengan yakin di Thailand dan saya akan terus menggandakan usaha saya selama berada di sini.

"Saingan di sini cukup kompetitif dan saya juga beraksi kadang-kala sebagai sayap kanan dan kiri, tetapi ia tiada masalah buat saya kerana segala pengalaman di Thailand pasti mematangkan lagi permainan saya,"kata Sharel.

Pemain muda kedua yang mencuri tumpuan minggu lalu ialah penyerang muda Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Hadi Fayyadh Abdul Razak, yang menjalani ujian pemilihan dengan kelab Liga J2,  Roasso Kumamoto.

Kelab itu mula mengintai kelibat Hadi ketika pemain kelahiran Tanjung Malim itu beraksi bersama skuad B-18 dalam saingan Piala Sanix yang berlangsung di Fukuoka, Mac lalu.

Ketika itu, penulis bertugas membuat liputan kejohanan jemputan itu dan ketika itu juga, penulis sudah optimis Hadi berupaya beraksi di Jepun jika di beri peluang.

Hadi turut berkesempatan bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamaad, ketika di Jepun dan mendapat kata-kata semangat daripadanya.

Dua lagi pemain muda negara yang menyinar minggu lalu ialah penyerang skuad B23 Tahun, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid, yang meledak gol dalam memastikan kemenangan 2-0 negara ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika aksi persahabatan 10 Ogos lalu.

Meskipun perlawanan itu dicemari insiden pergaduhan, aksi cemerlang dua pemain itu lebih mencuri tumpuan ketika perlawanan itu.

Ia juga pasti memberi motivasi penting sebelum skuad B23 negara ke Sukan Asia Indonesia pada Isnin.

Aksi cemerlang empat pemain muda ini jelas memberi harapan, masih ada sinar buat bola sepak negara kini.
 

Advertisement

Must Watch Video