Skip to main content

Rencana

Messi tak bertuah seperti Maradona

mesmara-cov.jpg
Lionel Messi tidak mampu mengelak untuk terus dibuat perbandingan – sama ada disukainya atau sebaliknya.

Sepanjang karier bermainnya, Cristiano Ronaldo menghadirkannya persaingan yang bukan kepalang, daripada anugerah peribadi, rekod jaringan, daya kepemimpinan, kejayaan bersama skuad kebangsaan mahupun daripada segi jumlah kejuaraan.

Namun, perbandingan abadinya ialah dengan legenda Argentina sepanjang zaman, Diego Armando Maradona – daripada idola, pengurus skuad kebangsaannya hinggalah kepada antara pendorong dan juga pengkritiknya.

Seperti yang ditonjolkan oleh laman www.bbc.com, rungutan abadi terhadap Messi ialah ketandusan kejuaraannya bersama Argentina di peringkat senior.

Tidak dapat tidak, perbandingan abadinya pula ialah dengan Maradona pada 1986.

Dalam final Piala Dunia tahun berkenaan di Mexico, Jerman Barat bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengimbangi kedudukan.

Andai mereka meneruskannya untuk Argentina dikalahkan, maka reputasi Maradona akan lebur berderai.

Sebaliknya, kapten Argentina itu menanti detik terbaiknya untuk meloloskan bola buat Jorge Burruchaga yang mengekalkan ketenangan untuk menyudahkan gol kemenangan menewaskan Harald Schumacher – La Albiceleste bergelar juara dan bersamanya, Maradona mengukuhkan status legendanya.

Tidak insiden “tangan tuhan” sebagai helah penipuannya dalam satu jaringan ketika berdepan England dalam suku akhir Piala Dunia 1986  di Stadium Azteca itu sekalipun dapat mengurangkan rasa hormat terhadapnya.

Messi, dalam pada itu, melakukan banyak untuk mengemudi Argentina ke tiga final berturut-turut. Namun, setiap kali itulah mereka menanggung kekalahan tipis – 0-1 kepada Jerman dalam final Piala Dunia 2014 di samping tewas penentuan sepakan penalti kepada Chile dalam final Copa America 2015 dan 2016.

Barangkali, seperti dirumuskan laman web berkenaan, karier antarabangsa Messi sudahpun mengalami sumpahan dari mula.



Membuat penampilan sulungnya sebagai pemain gantian dalam satu perlawanan persahabatan menentang Hungary pada 2005, Messi tidak berlengah mempamerkan skil gelecekannya apabila dipaut seorang pertahanan lawan. Bergelut untuk melepaskan diri, dia dilayangkan kad merah kerana menyiku.

Berselang 14 tahun, dia menerima kad merah hanya untuk kali kedua dalam karier dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Copa America dengan Chile, Sabtu lalu.

Tuduhan “konspirasi” dan “korupsi” yang dilaungkannya dengan dakwaan Brazil mendapat segala bantuan untuk ditabalkan juara – sambil Argentina dipastikan gagal – memungkinkannya penggantungan sehingga dua tahun daripada Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL).

Itu, sekiranya berlaku, akan melonjakkan lagi nama Maradona sebagai yang terbaik di antara kedua-dua legenda Argentina itu.

Bekas penyerang Argentina, Gabriel Batistuta, menyimpulkan: “Diego adalah yang terhebat. Dia mewakili Argentina dalam banyak perkara, bukan hanya dalam bola sepak. Dia memiliki karisma, bakat yang jarang ditemui dan fantasi.

“Messi, walaupun secara teknikalnya sama atau lebih baik, tidak memiliki karisma seperti Maradona, yang berupaya menghidupkan seluruh stadium dengan magisnya,” tambahnya seperti dipetik Corriere dello Sport.

Pele pula langsung tidak berlapik dalam analisisnya.

“Pada saya, Maradona salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman.

“Jika anda tanya saya, adakah Maradona lebih hebat daripada Messi, jawapan saya ya, jauh lebih baik,” katanya seperti dipetik oleh akhbar harian Brazil, Folha de Sao Paulo.

Tanpa kejuaraan besar pada namanya – bukan sembarangan tapi Piala Dunia – Messi tidak mungkin dapat mengatasi.

Advertisement

Must Watch Video