Skip to main content

Rencana

Messi dibersarakan lebih awal?

leo-messi-cover-(1).jpg
HUKUMAN terhadap keceluparan tidak membeza-bezakan di antara darjat bangsawan dan yang merempat – seperti realiti yang mungkin bakal dihadapi Lionel Messi.

Terkini, media antarabangsa melaporkan kapten Argentina itu berdepan penggantungan dua tahun daripada CONMEBOL gara-gara kritikan pedasnya terhadap Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan itu dalam Copa America di Brazil yang berakhir awal pagi semalam.

Daripada tuduhan “konspirasi” hinggalah kepada “korupsi” yang dihalakannya, baik kepada Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF), lebih-lebih lagi terhadap CONMEBOL – didorong oleh kegagalan dan ketidakadilan terhadap Argentina -- karier antarabangsa Messi, 32 tahun, mungkin berakhir lebih awal daripada dihajatinya.

Antara tuduhannya yang paling lantang terhadap badan induk itu ialah Copa America 2019 telah diatur sedemikian rupa untuk Brazil ditabal juara sambil Argentina digagalkan oleh peranan tangan-tangan ghaib.

Peraturan CONMEBOL, yang ketika ini diketuai Alejandro Dominguez dari Paraguay, melarang sebarang bentuk penghinaan dan cercaan terhadap badan induk itu, institusi atau sebarang penjawatnya yang memungkinkan mana-mana pesalah sedemikian digantung sehingga dua tahun.



Menyifatkan kritikan Messi sebelumnya -- selepas kekalahan perlawanan separuh akhir dengan Brazil dan perebutan tempat ketiga dengan Chile yang menyaksikan dia dibuang padang -- sebagai tidak boleh diterima dan tidak berasas sama sekali, CONMEBOL turut menempelak pemain itu dalam satu kenyataannya semalam yang berbunyi: 

“Tuduhan seperti itu mencerminkan kurangnya rasa hormat terhadap kejohanan, semua pemain bola sepak yang terlibat dan ratusan profesional  di CONMEBOL, sebuah institusi yang telah bekerja keras sejak 2016 untuk menjadikan bola sepak Amerika Selatan lebih telus, profesional dan lebih maju.”

Dalam bahasa mudah, badan induk itu benar-benar sedang berang dengan Messi – tidak kiralah dia pemenang lima kali Ballon d’Or dan mencari makan di benua berlainan di samping menjadi antara “duta terbesar” Amerika Selatan sejak sedekad lalu.

“Menerima keputusan sesuatu perlawanan dengan hormat adalah teras kepada ‘fair play’. Ia tidak boleh diterima bahawa terdapat tuduhan tidak berasas yang telah memesongkan kebenaran hingga integriti Copa America dipertikaikan,” kata kenyataan itu lagi.

Sebarang penggantungan sehingga dua tahun – sekiranya dijatuhkan ke atas Messi – akan menyebabkan dia terlepas kelayakan Piala Dunia 2022 di samping Copa America edisi berikutnya yang akan dianjurkan bersama oleh Argentina dan Colombia tahun depan.

Namun, tidak pula dihuraikan sama ada penggantungan seperti itu turut meliputi karier bermainnya di peringkat kelab kerana itu harus menamatkan terus riwayat Messi dalam bola sepak.

Mesej jelas daripada CONMEBOL ialah tiada mana-mana pemain yang lebih besar daripada kelab diwakilinya, persatuan kebangsaan yang menaunginya mahupun badan induk di peringkat benua yang kebal daripada dihina.

Baik di dalam kemenangan mahupun ketika menerima kekalahan, Messi sedang disekolahkan agar menunjukkan lebih rasa hormat -- dan bukan sekadar menuntut untuk dirinya saja dihormati.


 

Advertisement

Must Watch Video