Skip to main content

Rencana

Menanti magis

menanti-magis.jpg
KURANG daripada 100 hari dari sekarang, Malaysia menanti magis daripada kelompok individu istimewa yang dianugerahi bakat semula jadi dalam sukan.

Malaysia harus bersorak sebagai Malaysia.

Buat seketika, tiada jurang perbezaan kaum. Tiada isu mengenai kesamarataan. Tiada persoalan mengenai tanah tumpahnya darahku.

Magis ini kita nantikan daripada kontinjen negara yang bakal bersaing pada Sukan SEA ke-29 pada 19-30 Ogos nanti, disusuli Sukan Para Asean ke-9 pada 17-23 September.

Ini disebut oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, ketika menyampaikan ucapannya pada majlis Anugerah Sukan Negara bulan lalu.

“Lebih 1,200 magician kita berpeluang memperagakan bakat di tanah air kita sendiri, di hadapan puluhan juta rakyat  yang fokusnya hanyalah anda dan pencapaian anda.

“Segala usaha selama lebih tiga tahun, dengan 18 jawatankuasa, 13,000 sukarelawan, 54 sukan, lebih 600 acara, semuanya untuk melihat anda dikalungkan pingat emas dan Negaraku berkumandang.

“Berjaya kita nanti bakal disulami dengan kegembiraan puluhan juta rakyat Malaysia yang mengharap. Gagalnya kita nanti adalah keluh kesah mereka yang dahagakan magis.”

Temasya dwitahunan Sukan SEA kembali ke Malaysia untuk kali keempat sejak 1977 apabila Sukan SEAP dinamakan sebagai Sukan SEA menepati penyertaan Indonesia dan Filipina membentuk tujuh negara peserta – Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Burma (kini Myanmar) dan Thailand. Untuk rekod, Malaysia menjadi hos Sukan SEAP pada 1965 dan 1971.

Empat puluh tahun berlalu sejak Marina Chin, pada hari kelima temasya tanggal 24 November 1977, jatuh pada 40 meter terakhir dalam perlumbaan 400m lari berpagar wanita yang akhirnya dimenangi Jessica Lau.

Seluruh Stadium Merdeka tergamam melihat ratu trek negara kesayangan terjatuh pada selekoh terakhir sedangkan sedang mendahului, cuba bangkit dalam keliru dan seolah-olah mahu mengalah. Di saat Marina menghampiri garisan penamat, Jessica memintas. Jessica mencatat 1 minit 4.16 saat, disusuli Marina 1:04.37s.

Namun televisyen mengulang tayang kekalahan Marina pada petang dan malam itu, tanpa menghiraukan hakikat bahawa Jessica pemenang acara itu. Begitulah magisnya Sukan SEA. Yang kalah tetap disanjung, yang menang kadang-kadang dilupakan.

Suchart Jaiasuraparp menjuarai 100m pecut, manakala rakan senegaranya Anat Ratanapol memenangi emas 200m, di saat Marina menyumbang dua emas peribadi dalam acara 100m dan 200m lari berpagar bagi membantu skuad olahraga mengumpul 11 emas.

Edisi 1989 dikenang atas beberapa sebab.

Pengkomersilan Sukan SEA menjana pendapatan sebanyak RM17.3 juta, penyertaan semula Laos dan Vietnam selepas 16 tahun, kemenangan skuad bola sepak negara sejurus sebelum upacara penutup serentak dengan perayaan 31 Ogos, serta lapan emas yang disumbang Nurul Huda Abdullah di kolam renang menerusi 200m gaya bebas, 400m gaya bebas, 800m gaya bebas, 200m kuak lentang, 200m kuak kupu-kupu, 200m rampaian perseorangan dan 400m rampaian perseorangan serta 4x100m rampaian berganti-ganti. 

Nurul turut memenangi perak 100m gaya bebas dan 100m kuak kupu-kupu, tewas dalam acara itu kepada Akiko Thomson dari Filipina dan rakan senegara, May Tan.  

Kesan limpahan program Jaya’98 yang memulakan proses kejayaan kontinjen negara mengutip 10 emas di Sukan Komanwel 1998, diteruskan apabila Malaysia mengungguli Sukan SEA buat kali pertama dengan kutipan 111 emas, 75 perak dan 85 gangsa.

Hari ini Marina yang jatuh 40 tahun lalu sudah bergelar Datuk dan bakal mengetuai kontinjen negara selaku chef-de-mission, dengan misi memastikan anak buahnya merajai senarai pungutan pingat, sebagaimana yang dilakukan generasi 2001.

Diterajui bekas atlet, dengan susunan latihan di bawah program Kita Juara Majlis Sukan Negara (MSN), program podium Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) serta sokongan semua pihak dan pemegang taruh, magis harus terus terserlah dari Ogos sehingga September.
 






 

Advertisement

Must Watch Video