Skip to main content

Rencana

Menanti kepulangan tekong emas

syahir-zulkifli_1.jpg
Tanggal 26 Mac lalu, tamat tempoh sembilan bulan penggantungan yang dikenakan oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) terhadap dua tekong negara, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak.

Ia susulan krisis perselisihan faham antara kedua-dua pemain itu bersama PSM, namun segalanya sudah pun diselesaikan dengan baik.

Cubaan mendapatkan komen daripada Syahir dan Zulkifli gagal, namun kedua mereka dilihat aktif menjaga kecergasan diri di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Untuk tahun 2020, antara kejohanan yang menjadi tumpuan semua negara sudah semestinya Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok Oktober depan yang turut dijenamakan sebagai Kejohanan Sepak Takraw Dunia oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF)

PSM sebelum ini menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Akramuddin Abdul Aziz, jelaskan tiada slot istimewa buat kedua-dua pemain itu untuk kembali ke skuad negara, dengan mereka harus buktikan keupayaan diri.

Saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 yang dijangka bakal dianjurkan sebelum saingan Piala Raja Thai dilihat sebagai platform terbaik untuk Syahir dan Zulkifli buktikan kredibiliti bahawa servis mereka adalah antara yang paling digeruni di rantau ini apabila berentap dengan beberapa lagi pemain tekong negara dalam kancah liga tempatan itu.

Dalam masa yang sama, tekong -tekong sedia ada yang dipanggil mengisi tempat Syahir dan Zulkifli ketika Sukan SEA Filipina tahun lalu turut boleh boleh berikan cabaran bagi menjadikan persaingan merebut jersi negara semakin sengit, kerana inilah gelanggang terbaik untuk buktikan kemampuan masing-masing.

Buat Syahir dan Zulkifli, selamat maju jaya!

Advertisement

Must Watch Video