RENCANA
“Memang kena swab test ke?”
Beberapa hari lagi, kita akan melangkah ke tahun 2024.
Ingatkan wabak Koronavirus (COVID-19) yang popular pada sekitar 2020-2021 semakin melenyap, rupanya masih ganas menyerang di seluruh muka Bumi.
Saya antara yang terkesan – baru sahaja bebas daripada jangkitan COVID-19 pada Rabu.
Iklan
Tahun ini merupakan pengalaman kedua – kali pertama pada November 2022. Takut sungguh masa itu. Risau dengan impak dan kesan yang dibawanya kepada kandungan saya yang berusia 7 bulan tetapi Alhamdulillah, dengan izin Allah, segalanya dapat dilalui dengan baik.
Kalau difikirkan semula, rasa nak gelak pun ada.
Bayangkan sewaktu kecoh rakan sekerja dan sahabat handai dijangkiti COVID-19, saya antara yang kebal.
Saya masih ingat ketika rakyat Malaysia mula diberikan kelonggaran untuk keluar melakukan aktiviti pada hujung 2021 – saya dan rakan-rakan ke Janda Baik di Pahang. Kami berlima mengambil Keputusan untuk menaiki satu kereta sahaja. Dua hari selepas itu, hanya dua daripada kami yang negatif ujian saringan COVID-19.
Kalau bukan kerana keluar melakukan aktiviti pun, hampir setiap minggu dalam tempoh 3 tahun 9 bulan 1 minggu dan 1 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung dari 18 Mac 2020 – saya diwajibkan untuk melakukan ujian saringan COVID-19 sebagai syarat untuk bertugas.
Sebagai Essential Industry, Astro Arena tetap beroperasi seperti biasa dengan beberapa langkah keselamatan diambil bagi mengelak penularan pandemik itu seperti mengurangkan siaran rancangan dalam sehari, membahagikan pekerja kepada beberapa kumpulan bertugas dengan selebihnya bekerja di rumah dan kesemua kakitangan wajib melakukan ujian saringan COVID-19 termasuklah bos.
Maka bermulalah rutin baharu kami untuk pandu lalu dengan kenderaan atau beratur di lokasi ujian saringan COVID-19 yang disediakan syarikat.
“Memang kena swab test ke?”
“Sakit tak?”
“Bergenang juga airmata ni”
“Saya ‘chup’ kakak tu, dia buat test tak sakit”
Macam-macam lagilah ragamnya tetapi seperti kata pepatah alah bisa, tegal biasa. Daripada rasa takut, kebanyakan daripada kami dah macam tiada perasaan. Daripada tak kenal, dah boleh bergurau dengan petugas yang melakukan calitan hidung dan kerongkong.

Tetapi macam mana berhati-hati sekalipun, risiko untuk dijangkiti wabak itu tetap ada. Tidak hairanlah setiap minggu, ada sahaja rakan yang positif COVID-19. Sekurang-kurangnya 7 hari jugalah kami tidak berjumpa di pejabat. Mujur jugalah COVID-19 melanda pada zaman teknologi dihujung jari. Hubungan silaturrahim dipanjangkan dengan panggilan video, juga applikasi di media sosial.
Media sosial juga menjadi penyelamat dikala kami ‘struggle’ untuk mendapatkan laporan berita. Ia sememangnya medium yang memudahkan kami untuk mengikuti perkembangan atlet-atlet negara yang tidak dapat menjalani latihan atau mengikuti kejohanan seperti biasa. Ada yang menggunakan kesempatan itu untuk berkongsi senaman unik mereka, bakat terpendam seperti memasak dan bertukang, malah depresi atau kemurungan yang dirasai akibat perancangan yang tidak menjadi, apatah lagi bagi atlet yang mengejar kejohanan dengan had umur.

Menariknya, bukan sahaja atlet, penonton setia Astro Arena turut teruja berkongsi video-video menarik tentang aktiviti sukan yang dilakukan di rumah. Siapa masih ingat lagi cabaran yang trending #DudukRumahChallenge? Siap ada segmen khas dalam Nadi Arena tau.
Disebalik segala yang berlaku, saya yakin kepada yang turut sama keluar bekerja sepanjang PKP – terutamanya pada tiga peringkat pertama – pastinya merindui jalanraya yang lengang tanpa trafik yang sibuk dan pihak berkuasa yang menanti di pos kawalan dengan senyuman sambil bertanya “Nak pergi mana, Encik/ Puan?” haha
Semoga 2024 membawa sinar yang lebih gemilang buat sukan negara.
Selamat tahun baru!
Must-Watch Video