Kem Badminton Astro musim 2016 akhirnya sampai ke kemuncak apabila 28 finalis berumur lingkungan 10-12 tahun telah pun sampai ke Tokyo,Jepun bagi menjalani Latihan Lanjutan Intensif Luar Negara selama 10 hari.
Pemilihan awal yang melibatkan seramai lebih kurang 2300 penyertaan meliputi enam lokasi termasuk Kelantan,Pulau Pinang,Johor Bharu,Sabah,Sarawak dan Kuala Lumpur.
Musim ini juga merupakan kali pertama Kem Badminton Astro bekerjasama dengan Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia(PBSI) dan mengadakan pemilihan buat peserta Indonesia yang bertempat di Surabaya,Indonesia.
Sebaik sahaja sampai di Lapangan Terbang Narita Jepun, peserta kanak-kanak ini diselubungi pelbagai perasaan apatah lagi rata-rata daripada mereka baru pertama kali keluar negara tanpa ibubapa.
Latihan hari pertama dalam Latihan Lanjutan Intensif Tokyo Jepun di bawah kendalian jurulatih kebangsaan Jepun, Norio Imai benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal peserta apabila memulakan sesi pemanas badan dengan larian mengelilingi dewan sebanyak 30 pusingan.Namun apabila masuk hari kedua dan seterusnya,masing-masing sudah mulai serasi dah semakin meningkat prestasi ketahanan dan corak permainan mereka.
Apabila ditanya,selain keluarga di Malaysia/Indonesia adik-adik ini sangat merindui masakan keluarga di rumah antaranya nasi lemak dan bakso(Indonesia). Bukan sahaja mereka malah kami krew produksi mengalami perasaan yang sama kerana tidak semua makanan Jepun serasi dengan tekak orang kita.
Apapun,setelah mengharungi latihan dan jadual yang begitu padat,peserta-peserta Kem Badminton Astro dibawa melepaskan tekanan dan keletihan di Taman Tema Disneyland Tokyo!Bila penulis renung kembali zaman kanak-kanak dulu, yang terlintas adalah 'Betapa beruntungnya kanak-kanak ini!'.
Lawatan diteruskan ke Pusat Akuarium Sumida dan berakhir dengan makan malam di sebuah restoran makanan Jepun sebelum berangkat pulang ke Malaysia keesokan harinya.
Sudah pasti menjadi sebuah kenangan yang terpahat dalam diari anak-anak ini apabila kecil-kecil lagi sudah melalui perkara menakjubkan sebegini.Diharapkan segala latihan yang diperolehi dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh adik-adik kita.Ingat,satu hari nanti anda akan jadi pejuang negara!