Skip to main content

Advertisement

Rencana

Meh duduk sini...

img_4441.jpg
10 hari selepas peninggalan Almarhum Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Mustai'in Billah, aku masih berkira-kira sama ada mahu meneruskan coretan ini atau sebaliknya.

Tetapi atas dasar amat menghormati  Almarhum Paduka Ayahanda sebagai pemimpin yang merendah diri, raja yang terkenal dengan keramahannya tidak kira dengan siapa, coretan ini aku teruskan demi memanjangkan lagi sikap baik Almarhum ketika hayatnya.

Coretan ini tidak bermaksud apa-apa cuma niat aku mahu berkongsi pengalaman dan sikap rendah diri Almarhum Paduka Ayahanda yang sering diperkatakan.

Aku masih ingat, majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2013, berlangsung di sebuah hotel di pinggir Kuala Lumpur.

Silap aku pada hari itu aku memilih sepasang kurung berwarna kuning. Semua tentunya sedia maklum ia adalah warna Diraja.

“Siapa nama awak? Yang pakai baju kuning tu awak orang mana?"

Satu suara garau menegur membuatkan suasana sunyi seketika.

Aku? Sudah pasti berderau darah, cuak bukan kepalang sebab aku tahu benar siapa pemilik suara itu.

Aku memanjangkan leher, cuba memandang ke arahnya. “Ampun Tuanku, Fina Nasrom dari Astro Arena.”

“Awak asal mana?"

“Terengganu Tuanku, tapi abah asal Pahang.” Aku harap tempat kelahiran ayah aku mampu membuatkan Almarhum Paduka Baginda sejuk hatinya walaupun aku tidak tahu, adakah dia murka dengan warna pakaian yang aku pilih pada hari itu atau sebaliknya.

“Meh duduk sini." Ujar Almarhum, pelawa aku duduk berdekatan dengannya.

Aku dapat rasa, walaupun berbuka puasa di hotel yang terkenal dengan pelbagai juadah, nafsu makan aku hilang begitu sahaja. 

Dalam hati aku menyumpah seranah diri sendiri, mengapa aku tidak peka dengan pilihan warna pakaian aku pada hari itu.

Tetapi sebaliknya berlaku, dan apa yang aku jangka meleset sama sekali. Majlis berbuka puasa pada hari itu antara yang akan ku kenang sampai bila-bila.

Almarhum Paduka Baginda amat peramah dan akan menegur sesiapa sahaja tanpa mengira darjat. Itulah yang akan berlaku setiap kali acara melibatkan FAM yang dihadiri Almarhum.

“Saya dah tua, kena la makan ubat ye dak.” Itu antara dialog Almarhum Paduka Baginda sebaik pegawai pengiring meletakkan deretan ubat yang perlu diambil Almarhum ketika itu.

Bukan ayat 'cliche' untuk mencerminkan keperibadian Almarhum Paduka Baginda, tetapi itulah keperibadian sebenar Almarhum Ayahanda Sultan Ahmad Shah ketika hayatnya.

Advertisement

Must Watch Video