Skip to main content

Rencana

Media Sosial: Mahu Pertahan atau Membunuh?

rooney-slams-disgraceful-media-reports-after-late-night-drinking.jpg
Media sosial ibarat pistol. Yang bijak akan gunakan untuk mempertahankan diri. Yang kurang bijak pula akan menembak kaki sendiri.

Tidak boleh dinafikan lagi betapa besarnya peranan media sosial dalam kehidupan setiap orang pada zaman sekarang – tidak kiralah sama ada buat ahli korporat, selebriti Hollywood, ahli politik mahupun atlit ternama.

Bukan niat saya hendak nafikan segala kebaikan menerusi penggunaan media sosial yang semakin luas. Dari segi pemasaran, media sosial kini platform yang amat penting. 

Dari segi penyebaran berita pula , kini adalah jauh lebih pantas dibandingkan dengan 20 tahun yang lepas namun ada waktunya, kepantasan ini yang mampu mendatangkan bahaya terhadap seseorang.

Tidak berapa lama dahulu hampir setiap orang ada terbaca atau ternampak kemarahan yang diluahkan oleh seorang atlit muda ke atas teman wanitanya ketika itu. Bahasanya kurang manis dan telah mencetuskan pelbagai kontroversi. Adakah ini telah mencemarkan imej atlit tersebut? Sudah pasti. Ramai yang terus berbicara tentang hal beliau di laman media sosial, dan perbicaraan mereka tidak semuanya yang baik-baik.

Baru-baru ini juga, gambar bintang Manchester United iaitu Wayne Rooney disebarkan di media sosial. Gambar beliau di sebuah perkahwinan tidak menampakkan kredibiliti beliau sebagai kapten salah satu kelab terbesar di England dan pasukan kebangsaannya, kata peminat.

“Hancur masa hadapan England kalau terus macam ini”, keluh seorang peminat.

“Sepatutnya dia ni terima sahaja tawaran dari Liga China, tak berbaloi simpan lama-lama di Manchester United”, kata seorang lagi.

Nampak tak betapa pantasnya berita “buruk” tersebar, dan betapa lajunya manusia menghakimi orang lain atas kesilapan mereka, tidak kira sama ada kesilapan kecil ataupun kesilapan besar?

Secara jujurnya, saya banyak meluangkan masa bersama atlet-atlet muda. Ada yang baru sahaja tamat zaman persekolahan dan baru memulakan karier profesional, dan juga mereka yang terlibat dalam program-program seperti Kem Badminton dan Kem Bola.

Adakah mereka sedar betapa besarnya peranan media sosial dalam kehidupan setiap orang zaman sekarang? Adakah mereka faham bagaimana besarnya pengaruh media sosial ke atas karier mereka? Lebih-lebih lagi buat atlit, yang setiap gerak-gerinya diintip bak kuman di bawah mikroskop. 

Bukan mahu menakutkan sesiapa, hanyalah peringatan kepada semua.

Memang orang selalu kata, sebelum jadi bijak pandai, mesti buat kesilapan sana sini terlebih dahulu. Tapi ini zaman media sosial. Tiada lagi istilah kesilapan ‘yang lepas’. Segala kesilapan yang ada di alam maya akan kekal selamanya. 

Benar dengan peredaran masa semua orang boleh meneruskan kehidupan, dan meninggalkan kisah-kisah lama tapi itu manusia. Manusia mudah memaafkan, tetapi Google tidak. Manusia mudah lupa, tapi Internet tidak.
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found