Skip to main content

Rencana

Mata Botak: Kepuasan Ward-Prowse

james-ward-prowse.jpg
Tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk berdepan dengan salah seorang pemain yang beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris, apatah lagi jika individu tersebut adalah kapten pasukan yang diperkuatkan.

Walaupun perbualan menerusi panggilan video, ruang masa selama lapan minit yang diraih bersama ketua pasukan Southampton, James Ward-Prowse, jelas memberikan satu pengalaman baru bermodalkan topik kelebihan yang dia miliki, sepakan percuma.

Lebih daripada 20 gol yang pernah dihasilkan pemain kelahiran Portsmouth itu dalam saingan tertinggi di England dan sebahagian besar daripadanya dicipta menerusi situasi bola mati di depan kotak penalti sekaligus meletakkan namanya kini antara digeruni penjaga gol setiap kali The Saints meraih sepakan percuma.

Dalam satu sesi temubual untuk Borak-Borak Botak+ bersama Ward-Prowse pada 29 Oktober lalu, dia tanpa berselindung mendedahkan kepuasannya setiap kali berjaya menyempurnakan tugasan situasi bola mati sambil mengenang memori ledakan pertamanya yang menerjah jaring gawang.

"Bagi saya, jaringan menerusi sepakan percuma ketika menentang Tottenham Hotspur (ketika musim 2018/19) sangat istimewa dalam karier. Saya mengimpikan untuk menjaringkan gol sebegini sejak kecil. Ia merupakan jaringan kemenangan dan satu ledakan yang hebat," katanya dalam sesi menerusi lama Skype itu.

Ditanya mengenai persoalan pemain yang memiliki kebolehan terbaik dalam sepakan percuma di pentas Liga Perdana Inggeris ketika ini, Ward-Prowse menambah: "Kevin De Bruyne (Manchester City) dan Trent Alexander-Arnold (Liverpool) merupakan pemain yang bagus menerusi situasi bola mati tetapi bagi saya, Alexander-Arnold adalah yang terbaik.

"Pada usia muda dan kualiti yang dimiliki, saya melihat kemampuannya secara dekat. Saya fikir dia yang terbaik dalam situasi sepakan percuma ketika ini.

"De Bruyne mungkin pemain terbaik dalam Liga Perdana Inggeris tetapi kami bercakap tentang sepakan percuma dan setiap kali Alexander-Arnold berada di situ, anda tahu bola akan masuk ke gawang."

Mungkin ada yang menilai apa yang diungkapkan pemain dengan empat penampilan di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan England itu hanyalah satu kenyataan yang biasa atau 'cliche' daripada seorang pemain.

Jangan lupa, beberapa hari selepas sesi temubual itu, Ward-Prowse meledakkan dua lagi gol ketika anak buah Ralph Hasenhuttl menewaskan Aston Villa 4-3, dan kedua-dua jaringan itu menerusi sepakan percuma.

Benar, ia satu kepuasan buat James Ward-Prowse.


Advertisement

Must Watch Video