Skip to main content

Rencana

Masa depan Zidane (2): Tiga destinasi terbaik

zidanew.jpg
Bekas pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, merupakan salah seorang yang dikehendaki dalam dunia bola sepak. Pakar taktikal berusia 46 tahun itu merupakan antara topik hangat dalam media sukan selepas meninggalkan Santiago Bernabeu.

Zidane memimpin Los Blancos menjulang tiga gelaran Liga Juara-Juara (UCL) berturut-turut, satu gelaran LaLiga dan Copa del Rey dalam tempoh dua setengah tahun menggantikan Rafael Benitez.

Di sebalik penghijrahannya, pengendali kelahiran Perancis itu kini dikaitkan dengan kelab-kelab ternama Eropah, terutama sekali selepas menyatakan beliau akan kembali melatih pasukan tidak lama lagi.

“Sudah pasti saya akan kembali melatih pasukan selepas ini," katanya kepada media Sepanyol.

Jika beliau kembali (dengan tarikh yang masih belum ditetapkan), pasukan mana bakal dilatih Zidane?

1. Manchester United

Zidane tidak henti-henti dikaitkan dengan gergasi Inggeris, Manchester United, berikutan permulaan hambar musim ini. Pengendali The Red Devils, Jose Mourinho, kini berada dalam tekanan selepas gagal menampilkan taktikal yang berhasil hingga tewas kepada Tottenham 3-0 sebelum bangkit dengan dua kemenangan (Burnley dan Watford).

Dengan sindrom musim ketiga Mourinho yang dikatakan menjadi sumpahan buat pengendali kelahiran Portugal itu, laporan turut mencadangkan kelab tidak lagi meletakkan keyakinan kepada Mourinho dan dijangka mendapatkan khidmat Zidane sebagai pengganti.

2.Juventus

Selepas Zidane meninggalkan Real Madrid, beliau turut dikaitkan bakal kembali bersama bekas kelabnya, Juventus, dan dilihat sebagai pengganti Massimiliano Allegri. 

The Old Lady telah mendominasi Serie A sejak tujuh tahun lalu tetapi kejayaan di Eropah masih jauh daripada dakapan selepas tewas dua kali dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL) sejak empat tahun lalu.

Dengan Cristiano Ronaldo sudah berhijrah ke Turin pada musim panas lalu, ia mencerahkan peluang Zidane untuk turut serta berkelana ke Itali.

3. PSG

Sama seperti Juve, Paris Saint-Germain (PSG) telah melabur banyak untuk memenangi UCL tetapi gagal melakukannya setakat ini.

Gergasi Ligue 1 itu telah melantik Thomas Tuchel tetapi aksi pertama UCL dicemari dengan kekalahan 3-2 kepada Liverpool di Anfield dan ia akan memberikan petanda kedudukannya dalam bahaya.

Ini merupakan peluang buat Zidane yang memegang status sebagai pakar saingan UCL. Laporan mencadangkan PSG telah bertemu dengan Zidane untuk membawanya musim depan.


 

Advertisement

Must Watch Video