Skip to main content

Rencana

Martial buktikan Solskjaer tidak salah

martia.jpg
Tanpa Marcus Rashford, Manchester United berdepan masalah besar di bahagian serangan memandangkan hanya mempunyai Anthony Martial dan Odion Ighalo.

Ighalo masih gagal meledak gol buat The Red Devils sambil Martial sering dikritik kerana sering gagal menggalas tugas selaku penggempur utama sekali gus menyebabkan keputusan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, dipersoalkan.

Namun, situasi berbeza disaksikan sejak dua minggu lalu.

Tandukan gol pertama ketika menundukkan Chelsea 2-0 di Stamford Bridge, jaringan penyamaan sewaktu menentang Club Brugge dalam saingan Liga Europa serta lambungan genius memperdayakan penjaga gol Watford, Ben Foster, menjadikan Martial antara harapan United ketika ini.

Konsisten atau tidak, kemampuan Martial turut diakui bekas penyerang United, Louis Saha.

"Martial adalah seorang pemain berbakat dan memiliki segalanya untuk muncul penyerang hebat bertaraf dunia. Dia perlu menambah naluri pembunuh di depan gol, seperti yang dilakukan kebelakangan ini," ujar Saha ketika ditemui wartawan Metro.co.

Malah, usaha Martial ketika berdepan Club Brugge, menjaringkan gol, membantu pasukan bertahan, sentiasa memenangi bola dan mencipta larian turut dipuji bekas penyerang Fulham itu.

Awal musim ini, Solskjaer telah mencabar Martial agar meledak 20 gol dan setakat hari ini, dia telah menyumbat 14 jaringan.

Melihat kepada saingan musim 2019-20 yang berbaki kurang tiga bulan lagi, tidak mustahil ia mampu dilakar Martial sekali gus membuktikan dia benar-benar sudah bersedia untuk mengetuai barisan hadapan United.
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found