Skip to main content

Rencana

Mangkatnya peminat no.1 Helang Merah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sultan-kedah.jpg
Isnin, 11 September 2017, kira-kira 2.30 petang, hujan menemani warga Lembah Klang yang rata-ratanya sibuk menjalani urusan dunia. Siapa sangka, ia membawa berita nun dari utara tanahair, sultan berjiwa rakyat, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah telah menemui penciptanya pada usia 89 tahun.

Selain mencatatkan sejarah dengan dua kali memegang tampuk pemerintahan negara selaku Yang di-Pertuan Agong yang ke-5 dan ke-14, terdapat beberapa fakta menarik lain mengenai Sultan Abdul Halim yang mungkin tidak disedari umum.

Sultan Abdul Halim dikenali ramai dengan perwatakan baginda yang senang didekati dan sangat lembut dalam berbicara. Bagi rakyat Kedah dan pencinta sukan bola sepak, pastinya tahu bahawa baginda sentiasa prihatin dengan perkembangan skuad helang merah dan pernah beberapa kali mengadakan majlis penghargaan buat meraikan kejayaan pasukan Kedah di istana baginda.

Sultan Abdul Halim juga seringkali mencemar duli bagi memberikan sokongan kepada skuad helang merah, apatah lagi perlawanan yang berlangsung di laman sendiri, di Stadium Darul Aman.

Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan, baginda telah menjadi saksi jatuh bangun Kedah sejak menaiki takhta pada 1958. Kebangkitan Kedah pada era bola sepak moden cukup menonjol dengan kemuncak prestasi menerusi kejayaan treble pada 2007 dan 2008.

Tahun 2017, baginda sempat menyaksikan kejayaan skuad helang merah menjulang Piala Sumbangsih dan Piala FA, dan ia pastinya azimat terbaik buat anak buah Nidzam Adzha Yusoff dalam menghadapi baki saingan Piala Malaysia, sekaligus mempertahankan kejuaraan sambil mengimbas memori manis, meraikannya bersama Almarhum di Istana Negara pada Oktober tahun lalu.

Minat Sultan Abdul Halim dalam bola sepak bermula di bangku sekolah lagi di mana baginda yang menuntut di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) tidak melepaskan peluang turun padang setiap kali perlawanan diadakan. Selain itu, baginda juga menggemari olahraga dan lumba perahu. Dikatakan, Sultan Abdul Halim juga handal bermain golf.

Selasa, 12 September 2017, kira-kira 4.00 petang, jenazah Almarhum dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar. Satu lagi hari yang sedih buat semua, kehilangan yang bukan sahaja dirasai rakyat Kedah, tetapi seluruh rakyat Malaysia sehingga kerajaan memutuskan Jalur Gemilang dikibar separuh tiang hari ini dan rabu. 

Al-fatihah.

Advertisement

Must Watch Video