Skip to main content

Rencana

Manfaat peluang dan kelebihan

thanabalan.jpg
Dua perlawanan, dua kemenangan. Sememangnya, skuad bola sepak Sukan SEA negara berada di landasan tepat untuk melangkah ke saingan separuh akhir untuk temasya di Kuala Lumpur 2017.

Skuad muda negara kini perlu menang berdepan Myanmar Isnin ini untuk mengesahkan kemaraan awal selepas berjaya menewaskan Brunei 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan A Isnin lalu dan mengatasi musuh tradisi Singapura juga dengan keputusan sama Rabu lalu.

Namun, jika dua perlawanan awal itu dijadikan ukuran, pemerhati bola sepak tempatan berpendapat tugas getir menanti anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk pertemuan menentang Myanmar.
 
Bukan tidak bagus, tetapi terpaksa berhempas pulas menentang pasukan seperti Brunei dan Singapura, skuad muda negara tampak belum settle down dalam beberapa aspek kerana mereka berasakan dua perlawanan itu seharusnya menjadi aksi mudah buat skuad muda negara.

Penulis tidak menafikan pendapat itu ada rasionalnya, tetapi jika dilihat daripada sudut positif ia bagus berlaku sekarang seperti yang dikatakan Kim Swee selepas perlawanan menentang Singapura.

Segala kesilapan mungkin boleh dijadikan pengajaran berguna kepada pemain untuk dibawa ke perlawanan seterusnya. Lihat saja dua gol yang dibolosi, satu gol bertemu Brunei dan satu gol bertemu Singapura, ia berpunca daripada kesilapan pemain sendiri dan bukannya dicipta oleh pihak lawan.

Jika ia diperbaiki, penulis percaya benteng pertahanan negara mampu beraksi lebih ampuh. Penulis percaya, barisan pertahanan negara yang diketuai Irfan Zakaria, Adam Nor Azlin dan Adib Zainuddin mampu melakukannya.

Begitu juga di bahagian tengah, nampaknya siapa gandingan terbaik untuk cabaran getir selepas ini sudah terjawab. Nor Azam Azih dan Syamer Kutty Abba menjelmakan kombinasi mantap pada babak kedua ketika bertemu Singapura.

Cuma, yang masih menjadi kerisauan penulis adalah attacking third. Betul, Kelibat S. Kumaahran memberi impak berbeza kepada pasukan, namun belum cukup untuk aksi-aksi getir sama ada lawan Myanmar, Thailand, Vietnam atau pun Indonesia.

Bayangkan, jika sukarnya jentera serangan untuk menembusi benteng Brunei dan Singapura, lagi sukarlah penyerang negara untuk berhadapan dengan lawan yang penulis sebutkan di atas.

Kita perlu pemain seperti Safawi Rasid. Berani, yakin dan ada idea. Ini kerana aksi berdepan Myanmar, penulis percaya skuad negara akan mempunyai peluang yang terhad untuk menjaringkan gol. Jadi, segala peluang yang diperolehi harus dimanfaat sebaik mungkin kerana jika tidak kita akan berputih mata.

Elak kesilapan, manfaat peluang dan kelebihan. Itu kata kunci kepada pemain-pemain negara untuk aksi berdepan Myanmar Isnin ini.

Advertisement

Must Watch Video