Skip to main content

Rencana

Manchester City terima cabaran hatrik

manchester-city-2.jpg
“Kami terima cabaran untuk kekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali ketiga berturut-turut dan saya berjanji untuk pastikan Manchester City kembali lebih kuat pada musim hadapan.”

Pehhhh... kalau betul janji pengurus Manchester City, Pep Guardiola, ini jadi kenyataan, pengendali dari Sepanyol ini juga nampaknya berhak meraikan magisnya bersama tiga pasukan daripada tiga liga berbeza yang merekodkan kejuaraan dalam tiga musim berturut-turut - hebat!

Guardiola ini memang hebat dalam menilik firasat - dia ada firasat baik apabila Manchester City dijadual berdepan Brighton & Hove Albion dalam aksi terakhir liga musim 2018/2019 yang bakal menentukan kejuaraan Liga Perdana Inggeris berjaya dikekalkan atau dirampas pencabar rapat, Liverpool.

12 Ogos 2017, The Citizens memulakan aksi pertama liga musim itu di Stadium Amex dan Guardiola yang masih menjadi mangsa perbandingan kejayaannya dalam kancah La Liga dan Bundesliga berjaya menutup mulut para pengkritik bola sepak Inggeris buat seketika dengan kemenangan 2-0 yang menjadi permulaan manis musim keduanya bersama City.

639 hari berlalu, Brighton sekali lagi dijinakkan City dihadapan penyokong mereka - kali ini, lebih bergaya dengan kebangkitan yang dijana Sergio Aguero dalam tempoh 83 saat yang kemudiannya membawa kepada kemenangan selesa 4-1, mengesahkan kejuaraan dua musim berturut-turut buat kali pertama dalam sejarah penubuhan kelab.

Dua musim penuh bergaya yang dilalui menyaksikan 198 mata berjaya dikumpul skuad Pep Guardiola secara keseluruhannya - secara purata, City memiliki 2.6 mata bagi setiap perlawanan yang jika dibundarkan membawa kepada tiga mata penuh - sekali gus menggambarkan kesempurnaan yang cukup hampir buat City.

Kesempurnaan yang dimiliki Guardiola bersama bekas kelab, Barcelona dan Bayern Munich sering dicemburui, namun ia tidak sesekali membuai Guardiola dalam kemasyhuran - malah dia sudah mempunyai perancangan musim hadapan buat City tidak sampai 24 jam menjulang trofi di dua lokasi bersama anak buahnya.

Bagi Guardiola, gol pembukaan Brighton menerusi Glenn Murray menunjukkan kelemahan City dalam menangani situasi bola mati dan dia perlu melakukan sesuatu, sama manfaatnya seperti dia membawa masuk Riyad Mahrez dengan nilai £60 juta dalam jendela perpindahan musim panas lalu dan lihat bagaimana bekas bintang Leicester City itu memainkan peranan penting dalam aksi terakhir kempen liga.

Kempen Piala FA pula hanya menanti penamat gembira buat City yang bakal berdepan Watford untuk satu lagi trofi setelah terlepas peluang mencari kejuaraan di pentas Liga Juara Juara Eropah - sekurang-kurangnya harapan mengumpul empat trofi semusim masih mampu diterjemahkan Guardiola dengan terdahulu menjulang kejuaraan Piala Liga dan Piala Perisai Komuniti.

Advertisement

Must Watch Video