Skip to main content

Rencana

Mana beg Budgeon?

budgeon1718.jpg
Malang buat pertahanan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Nicholas Budgeon, apabila hilang semua peralatan hoki ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Nasib baik pemain kebangsaan Australia itu memiliki kayu hoki simpanan yang dibawa dalam beg pakaian. Apa yang menarik, Budgeon tetap ceria untuk mengharungi Liga Hoki Malaysia.

"Saya boleh pinjam kayu kawan," kata pemain bertubuh sasa itu.

Budgeon bukan pemain biasa. Dia mengecap banyak kejayaan bersama Kookaburras termasuk menjulang Piala Dunia 2014, suku akhir Sukan Olimpik Rio 2016 dan deretan Piala Sultan Azlan Shah.

Seorang atlet hebat tidak terlalu bergantung kepada peralatan. Apa yang menimpa Budgeon mengingatkan saya kepada penembak negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim  pada 2014.

Ketika itu, pakaian menembaknya hilang sebaik tiba di Glasgow, Scotland menjelang Sukan Komanwel 2014. Situasi itu mencetuskan suasana panik hingga memaksa Chef de Mission ketika itu, Datuk Ong Poh Eng, campur tangan.

Beg Ayuni ditemui semula namun dia gagal meraih sebarang pingat.

Dalam situasi ini atlet memerlukan pembantu. Bagi yang bergaji besar, mereka tiada masalah untuk menyerahkan kepada pengurus menyelesaikan masalah itu. Tetapi bagi yang biasa-biasa saja, fokus boleh terjejas.

Atas faktor itu, mereka perlu berhati-hati dan peka sepanjang perjalanan ke luar negara, bersiap-sedia dengan pelan B andai berdepan masalah seperti ini. 

Selalunya, syarikat penerbangan akan mengambil masa beberapa hari untuk menyelesaikan masalah ini. Dalam tempoh itu, atlet perlu berdikari sama ada meminjam peralatan rakan atau membeli yang baru.

Soal sesuai atau tidak perlu ditolak ke tepi kerana apa yang penting, tugas perlu diteruskan.

Bagi Budgeon, gunalah apa yang ada. Janji pasukan anda menang.

Selamat berjaya untuk semua enam pasukan Liga Hoki Malaysia 2018!

Advertisement

Must Watch Video