Skip to main content

Rencana

Macam-macam hal

akhyar-rashid.jpg
Seperti kebiasaan apabila tiba bulan Disember hingga Januari, pasukan-pasukan liga tempatan akan sibuk mencari pemain baru bagi memantapkan persediaan pasukan untuk saingan liga nanti. 

Tidak kurang juga ada yang sibuk melancarkan jersi baru pasukan, selain melakukan penambahbaikan seperti kemasukan tenaga kejurulatihan baru dan sebagainya.

Paling mencuri tumpuan penulis ketika ini sudah tentu isu melibatkan Akhyar Rashid, pemain pasukan Kedah yang kini sedang diintai Johor Darul Takzim. 

Penulis sejujurnya tidak tahu pihak mana yang benar, namun penulis geli hati melihat pengumuman rasmi kedua-dua pasukan yang berbalah pendapat.

Sebelah pihak mahukan proses dilakukan secara pintu depan, sebelah pihak pula dikatakan ikut jalan belakang, satu lagi pihak pula kata jadi orang tengah tapi tak dapat cari jalan penyelesaian. Jadi bagaimana nak selesai?

Dalam pada itu, penulis ada mendengar pasukan Singa Utara yang akan beraksi di liga FAM dibarisi otai-otai lama seperti Safee Sali, Badhri Radzi, Azmi Muslim, Amiridzwan Taj dan Khyril Muhaimeen. Barisan pemain sedia ada di bawah bimbingan Manzoor Azwira memang cukup menarik, namun dengar kata isu gaji yang lama pun belum selesai, betul ke?

Selangor pula dilihat kembali garang untuk musim 2019 selepas Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga merupakan presiden FAS, memecat 43 ahli gabungan yang tidak sehaluan dengan misi dan visi pasukan Selangor. 

The Red Giants turut melantik B. Sathianathan selaku ketua jurulatih baru selain membawa masuk pemain seperti Faiz Nasir, Latif Suhaimi, Farizal Harun, Halim Saari dan Nurridzuan Abu Hassan.

Selain daripada itu, penulis turut tertarik apabila laman rasmi JDT, memuat naik foto Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang bersama-sama Mesut Ozil dan David Beckham menyaksikan perlawanan di Stadium Emirates. 

Sudah tentu hubungan erat TMJ bersama bintang elit dunia sedikit sebanyak membantu dalam menaikkan nama JDT dan juga Malaysia ke peringkat antarabangsa. 

Ada juga yang mengatakan jersi baru JDT, dibuat khas oleh penaja di Amerika Syarikat. 

Tak sabar pulak rasanya penulis nak tengok, cantik ke tidak....

Advertisement

Must Watch Video