Skip to main content

Rencana

Maaf, tiada ruang buat Salah, Hazard

pfa-cover.jpg
Daripada bergelar Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) 2017/18, tiada tempat buat Mohamed Salah musim ini.

Juga Eden Hazard harus menerima hakikat yang sama pada ketika Paul Pogba rata-rata dianggap lebih bertuah.

Kesebelasan Terbaik PFA bagi musim 2018/19 dikuasai setengah dozen pemain Manchester City, empat mewakili Liverpool, dengan Pogba satu-satunya pemain di luar dua kelab teratas berkenaan, yang pemilihannya dianggap konteroversi gara-gara persembahan turun naiknya.

Namun, penyenaraian Pogba, yang hanya terlepas tiga perlawanan liga sepanjang musim, adalah bersandarkan 13 golnya musim ini – tertinggi daripada seorang pemain tengah – di samping sembilan bantuan jaringan.

Bek tengah Liverpool, Virgil Van Dijk, pula mengatasi penyerang City, Raheem Sterling, bagi mewarisi anugerah Pemain Terbaik PFA 2018/19 – memanjangkan kemarau gelaran itu buat pemain Inggeris sejak kejayaan Wayne Rooney pada musim 2009/10.

Ia kali pertama seorang pemain pertahanan meraih anugerah berprestij itu sejak kejayaan kapten Chelsea, John Terry, pada 2005.

Kemenangan Van Dijk itu bermakna anugerah berkenaan kekal bersama Liverpool selepas kejayaan Salah musim lalu. Lain-lain pemain Liverpool yang pernah memenanginya ialah Luis Suarez (2013/14), Steven Gerrard (2005/06), John Barnes (1987/88), Ian Rush (1983/84), Kenny Dalglish (1982/83) dan Terry McDermott (1979/80).

Ia akan lebih bermakna buat The Reds andai Trent Alexander-Arnold seperti diramalkan mampu memintas David Brooks (Bournemouth), Marcus Rashford (United), Declan Rice (West Ham) serta duo City, Bernardo Silva dan Sterling, untuk anugerah Pemain Muda Terbaik PFA.

PFA akan menganjurkan majlis anugerahnya itu di sebuah hotel terkemuka di London, Ahad ini, apabila pemenang Pemain Terbaik PFA dan Pemain Muda Terbaik PFA akan secara rasmi dimasyhurkan.

Senarai Kesebelasan Terbaik PFA bagi musim 2018/19 menampilkan Ederson (mengatasi penjaga gol Liverpool, Alisson), Aymeric Laporte, Fernandinho, Bernardo Silva, Sergio Aguero dan Sterling daripada City.

Ringkasnya, skuad Pep Guardiola itu diwakili sekurang-kurangnya seorang pemain daripada posisi penjaga gol, pertahanan, tengah dan serangan dalam senarai berkenaan yang diputuskan semua pemain profesional 20 pasukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam undian pada hujung Februari dan awal Mac lalu.

Liverpool pula membekalkan tiga daripada empat pertahanan dalam kesebelasan itu menerusi Alexander-Arnold, Van Dijk dan Andrew Robertson – dengan rekod bolos hanya 20 gol setakat musim ini -- di samping Sadio Mane di barisan serangan.



Dengan Kesebelasan Terbaik PFA 2018/19 hanya datangnya daripada tiga kelab, ia adalah yang terkecil sejak pemilihan itu diperkenalkan lebih 40 tahun lalu pada 1973/74 sebagai menyerlahkan penguasaan besar City dan Liverpool musim ini.

Keseluruhannya, ia adalah pertunjukan lebih baik daripada Liverpool, yang memiliki Salah selaku satu-satunya pemain dalam Kesebelasan Terbaik PFA 2017/18, berbanding musim 2013/14 apabila tiga pemain The Reds, Luis Suarez, Steven Gerrard dan Daniel Sturridge, diberi pengiktirafan.

KESEBELASAN TERBAIK PFA 2018/19

Ederson (Man City)
Ederson tidak bolos dalam 18 perlawanan liga musim ini – satu rekod yang mengatasi mana-mana penjaga gol City sebelumnya.

Trent Alexander-Arnold (Liverpool)
Fulbek Liverpool ini memiliki purata satu bantuan jaringan setiap 275 minit musim ini – nisbah terbaik dalam kalangan semua pertahanan dalam liga.

Aymeric Laporte (Man City)
Laporte telah melakukan lebih banyak hantaran sempurna (2,514) daripada mana-mana pertahanan dalam Liga Perdana musim ini.

Virgil van Dijk (Liverpool)
Sejak penampilan sulungnya untuk Liverpool pada Januari 2018, Van Dijk telah memastikan paling banyak rekod tanpa bolos (25).

Andrew Robertson (Liverpool)
Robertson telah melakukan paling banyak bantuan jaringan (sembilan) daripada mana-mana pemain Liverpool musim ini.

Fernandinho (Man City)
Peratus kemenangan Manchester City dalam Liga Perdana musim ini ialah 86 peratus ketika dia beraksi berbanding 67 peratus apabila dia diketepikan.

Bernardo Silva (Man City)
Silva telah menjaringkan tujuh gol daripada 33 perlawanan Liga Perdana musim ini – lebih satu daripada 35 perlawanan musim lalu.

Paul Pogba (Man Utd)
Pogba terlibat secara langsung dalam lebih banyak gol liga musim ini (22) dibandingkan dengan kempen terdahulunya dalam lima liga paling utama di Eropah.

Sadio Mane (Liverpool)
Musim 2018/19 adalah yang terbaik buat Mane untuk jaringan dilakukan (18) dan peranan dalam jaringan (19).

Sergio Aguero (Man City)
Aguero hanyalah pemain ketiga untuk menjaringkan 150 gol Liga Perdana buat sebuah kelab selepas Wayne Rooney di Manchester United dan Thierry Henry di Arsenal.
 
Raheem Sterling (Man City)
Sterling telah terbabit dalam lebih banyak gol Liga Perdana (27) daripada mana-mana pemain Inggeris lain dalam Liga Perdana musim ini.






 

Advertisement

Must Watch Video