Skip to main content

Rencana

Lupakan Coutinho, Van Dijk

coutinho-van-dijk.jpg
Bagi peminat bola sepak Eropah, tarikh 1 Januari bukanlah sekadar untuk menikmati kehadiran tahun baru, sebaliknya ia dianggap sebagai detik terbaik untuk pasukan pujaan hati memperbaiki kelemahan pasukan dengan membawa masuk pemain baru.
 
Liverpool adalah antara pasukan yang paling awal bertindak apabila mengesahkan pembelian pertahanan Belanda dari Southampton, Virgil Van Dijk, dengan nilai GBP75 juta (RM411 juta).
 
Pengendali The Kop, Jurgen Klopp, akhirnya terpaksa akur dengan permintaan harga tinggi oleh The Saints demi mendapatkan Van Dijk walaupun pernah mengkritik keputusan Jose Mourinho untuk membayar GBP89 juta (RM487 juta) bagi membawa Paul Pogba ke Manchester United, hampir dua tahun lalu.
 

 
Persoalannya, adakah pelaburan itu mampu memberikan kejuaraan yang telah lama 'hanyut' dari Anfield?
 
Philippe Coutinho adalah nama hangat yang dikaitkan untuk meninggalkan Liverpool pada bulan ini dan gergasi Sepanyol, Barcelona, dilihat semakin hampir  meraih khidmat bekas pemain Inter Milan itu setelah penaja Barca, Nike, secara tidak sengaja memberikan bayangan perpindahan tersebut menerusi laman webnya.
 
Walaupun hasrat Coutinho untuk berhijrah pada Ogos lalu tidak berjaya, dia tetap memainkan peranan utama buat Liverpool pada separuh musim 2017/18 apabila mencatat tujuh gol dan enam bantuan jaringan.
 
Jika perpindahannya ke Camp Nou disempurnakan, Klopp semestinya perlu mencari pengganti yang tepat dan antara nama yang menarik perhatian pengurus dari Jerman itu adalah Leon Goretzka (Schalke 04) dan Manuel Lanzini (West Ham United).
 

 
Kedua-dua nama yang disebutkan di atas dilihat mampu mengisi tempat yang ditinggalkan Coutinho. Namun, tatkala Goretzka turut dikaitkan dengan juara Jerman, Bayern Munich, serta aksi lincah Lanzini ditagih David Moyes, tentunya Klopp perlu bertindak lebih bijak.
 
Bekas ketua jurulatih Borussia Dortmund itu harus sedar ada dua perkara lain selain isu Coutinho yang perlu diambil berat, iaitu masalah penjaga gol serta kontrak Emre Can.
 
Can bakal menjadi ejen bebas pada Jun depan. Pada usia 23 tahun, dia sepatutnya terus berkembang di Anfield serta mencipta gandingan mantap di bahagian tengah bersama Georginio Wijnaldum dan Naby Keita -- yang akan menyertai The Kop pada musim depan.
 

 
Simon Mignolet dan Loris Karius adalah dua pemain yang bergelut untuk  mengawal gawang daripada mudah dibolosi dan mungkin Klopp boleh menggunakan wang hasil penjualan Coutinho untuk mendapatkan penjaga gol baru seperti Kevin Trapp (Paris Saint-Germain), Jasper Cillessen (Barcelona) atau bintang muda Sepanyol, Kepa Arrizabalaga (Athletic Bilbao).
 
Dua langkah yang disebutkan mungkin boleh membantu Liverpool terus mengejar kejuaraan yang sudah tandus dari Anfield walaupun kehilangan khidmat Coutinho.
 
Sekurang-kurangnya, Klopp boleh menjulang kejuaraan pertama buatnya bersama The Kop dan melarikan diri daripada jolokan "The Normal One" yang diciptanya sendiri.

Advertisement

Must Watch Video