RENCANA
Liverpool tetap calon juara?
Walaupun gagal julang Piala Perisai Komuniti, Liverpool masih mulakan musim dengan baik tetapi sejak 2021 membuka tirai, sudah tiga kali mereka terciduk dengan pasukan bukan gergasi – Southampton (5 Januari), Burnley (22 Januari) dan Brighton (4 Februari).
Manchester United pula hampir tenggelam di pertengahan liga tetapi kemudiannya berjaya menyertai kelompok empat terbaik dan menjadikan Southampton sebagai mangsa untuk bangkit daripada kekalahan memalukan kepada Sheffield United minggu lalu.
Namun, apakah anak buah Ole Gunnar Solskjaer kini pasukan yang lebih baik berbanding Liverpool dalam mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris 2020/ 2021?
Iklan
Semua tahu yang ketika ini Manchester City memimpin puncak liga dengan 47 mata, ketika United mengisi posisi kedua dengan 44 mata dan The Reds pula 40 mata di tangga keempat, perlukan 7 mata atau lebih untuk memintas – secara automatik menunjukkan United adalah pencabar paling berpotensi untuk mengganggu perjalanan The Citizens yang mahu mengembalikan kejuaraan yang dimenangi pada musim 2018/ 2019.
Namun, menurut bekas jurulatih Tottenham Hotspur, Harry Redknapp, apa yang berlaku adalah bersifat sementara tetapi United akan mengatasi cabaran Spurs untuk tamat di kedudukan ketiga.
Redknapp berkongsi ramalannya itu dalam temubual bersama media antarabangsa Metro – dengan menambah, perebutan kejuaraan akan berlaku di antara City dan Liverpool dimana skuad bimbingan Pep Guardiola adalah calon pilihan berdasarkan aksi konsisten yang mampu menghasilkan mata dalam setiap baki saingan.
Sejauh mana ramalan Redknapp mengenai sasaran?
Apa yang pasti, ia menambahkan kehangatan menjelang pertemuan antara City dan Liverpool yang akan berlangsung pada Ahad – sudah tentu, kemenangan lebih didambakan anak buah Jurgen Klopp.
Perkara pertama yang dilakukan Klopp selepas pasukannya tewas kepada Brighton adalah memberitahu pemain untuk tidak terlalu bergantung kepada Mohammad Salah untuk menjaringkan gol.
Kebergantungan Liverpool kepada penyerang Mesir itu telah mendorong kepada impak negatif dengan hanya berpeluang meledak dua gol dalam lapan aksi terakhir liga – walaupun masih cemerlang dengan tambahan tiga gol dari dua perlawanan Piala FA.
Bekas penyerang Liverpool, Peter Crouch, juga senada dengan Klopp dan mengharapkan Roberto Firmino tampil dengan prestasi lebih baik pada pertemuan menentang City selepas hanya menjaringkan satu gol dalam lapan penampilan terakhir.
Seorang lagi ‘key player’ yang didambakan Liverpool, sudah pasti, Sadio Mane yang terlepas dua perlawanan termasuk kekalahan kedua berturut-turut di Anfield tetapi sebelum itu, rekod The Reds di laman sendiri cukup menggerunkan pasukan lawan - 68 perlawanan tanpa tewas.
City yang merekod kemenangan dalam lima aksi terakhir liga juga seringkali menjadi mangsa kekebalan Liverpool di Anfield – menerusi 24 pertemuan, Liverpool menang 15 kali, seri lapan kali dan hanya membenarkan City mengatasi mereka sekali sahaja.
Jika melihat kepada keseluruhan 49 pertemuan kedua-dua pasukan pula, Liverpool juga lebih baik dengan menang 23 kali tetapi jumlah itu tidak jauh dengan 17 keputusan seri yang dicatatkan – termasuk pertemuan terakhir pada 8 November yang berkesudahan 1-1 di Stadium Etihad – ketika itu, Gabriel Jesus menafikan tiga mata penuh buat Liverpool yang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Mo Salah.
Itu ketika Liverpool masih diatas, kini tekanannya lebih tinggi kerana kekalahan kepada City mampu menukar misi Liverpool dari mempertahankan kejuaraan kepada menamatkan musim ini dalam kelompok empat terbaik.
Apakah Liverpool masih calon juara pilihan anda?
Must-Watch Video