RENCANA
Lingardinho dalam bahaya
Pemain Manchester United, Jesse Lingard mungkin perlu berdepan situasi sukar untuk mengekalkan tempatnya bukan sahaja dalam kesebelasan utama, malah beliau dijangka sukar untuk kekal berada dalam skuad The Red Devils.
Situasi ini timbul berikutan merudumnya prestasi yang dipamerkan pemain kebangsaan England itu sejak pemulaan musim 2019, dimana tempatnya sering diambil alih pemain lain seperti Daniel James dan Andreas Pereira. Di penghujung musim mula, pemain muda Mason Greenwood pula muncul dengan prestasi mengagumkan yang sekaligus menyaksikan kedudukan Lingard mula menjadi tanda tanya.
Terkini, The Red Devils sedang memulakan proses mahu mendapatkan Jadon Sancho dari Borussia Dortmund yang menambah lagi spekulasi kedudukan Lingard kerana United memiliki beberapa pilihan di posisi tengah/sayap kanan.
Iklan
Lingard yang merupakan pemain akademi United sejak tahun 2000 pernah dipinjamkan ke beberapa kelab seperti Leicester City, Birmingham City, Brighton dan Derby County sebelum diserapkan ke skuad senior United, dan situasi ini dijangka mungkin berulang andai beliau mahukan lebih minit permainan. Ini kerana andai pembelian Sancho menjadi kenyataan, agak sukar bagi Lingard untuk merebut tempat jika prestasinya tidak ditingkatkan.
Dalam masa sama, pengendali United Ole Gunnar Solskjaer masih tidak pasti mengenai masa depan Lingard. Bercakap kepada media selepas perlawanan Liga Europa, OGS yang mengenali Lingard sejak zaman kanak-kanak lagi mengakui gembira melihat Lingard kembali menjaringkan gol, tetapi menegaskan setiap pemain perlu sentiasa bekerja keras untuk membuktikan kemampuan mereka.
Bekas pemain tengah United, Paul Scholes turut menyarankan LIngard supaya berhijrah andai mahu mendapatkan lebih minit permainan. Scholes memuji corak permainan Lingard tetapi menegaskan ianya belum cukup baik untuk Manchester United. Ini bermaksud, Lingard perlu segera meningkatkan prestasinya atau mungkin beliau terpaksa ditunjukkan jalan keluar.
Dayang ada melihat di Instagram Lingard sendiri dimana beliau berkongsi situasi semasanya berikutan emaknya yang terlantar sakit, selain perlu menjaga adik beradiknya yang lain, mungkin ini salah satu faktor yang menjadi penyebab merudumnya prestasi Lingard. Mungkin United boleh memberikan sedikit ruang dan peluang buat Lingard untuk kembali mendapatkan prestasi terbaiknya. Ini kerana di waktu kemuncak prestasinya, Lingard beraksi dengan sangat baik, lihat sahaja bagaimana dia sendiri turut membarisi kesebelasan utama England pada Piala Dunia 2018.
Andai jodoh Lingard dengan United tidak berpanjangan, mungkin ada beberapa kelab sudah bersedia mahu mendapatkan Lingard seperti Newcastle United, Everton, dan mungkin juga Arsenal?
Oh ya, Selamat maju jaya kepada Alexis Sanchez yang telah menjadi pemain Inter Milan, dan selamat kembali Chris Smalling ke Old Trafford!
Must-Watch Video