Skip to main content

Rencana

Lima minggu untuk kembali bangkit!

300417hokimalaysia1.jpg
Lima minggu. Itulah tempoh yang ada buat skuad hoki negara untuk memperbaiki segala kelemahan yang terserlah dalam Piala Sultan Azlan Shah, minggu lalu. 

Penulis senada dengan lagenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, yang berasakan prestasi keseluruhan Malaysian Tigers tidaklah terlalu mengecewakan, cuma peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen sekadar layak beraksi untuk tempat penentuan kelima dan keenam pada Piala Sultan Azlan Shah di mana ianya bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Ditambah pula skuad hoki negara bakal ke London untuk saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, di mana kejohanan itu akan menjadi medan utama menentukan nasib skuad negara untuk beraksi di Piala Dunia 2018.

Dengan berbaki hanya lebih kurang lima minggu, dan andai aksi dalam Piala Sultan Azlan Shah menjadi ukuran, Stephen Van Huizen perlu segera memikirkan langkah yang terbaik bagi 'mencantikkan' semula hoki Malaysia dengan kadar segera.

Pada pandangan peribadi penulis, pemain hoki negara bukanlah bermain terlalu teruk. Penulis lihat persembahan mereka ada peningkatan tetapi pemain hoki negara dilihat gagal menyudahkan pukulan sudut penalti, mensia-siakan peluang terhidang dan juga kelihatan gugup sewaktu bertahan. 

Ketiga-tiga elemen yang disebut penulis rasa berteraskan satu faktor iaitu pengalaman.

Kepada seluruh pemain hoki negara, penulis harapkan anda semua mampu kembali bangkit dan mengembalikan kegarangan Malaysian Tigers dalam Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2017 nanti!

Advertisement

Must Watch Video