Skip to main content

Rencana

Lima individu pacu Liverpool menuju kegemilangan musim 2018-19

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

jurgenklopp-cropped_aihvbpnokg4u1ajaqin2j1ejs.jpg
Musim lalu menyaksikan skuad kendalian Jurgen Klopp membuktikan kebolehan mereka untuk bersaing di pentas tertinggi dengan barisan pemain yang dimiliki, dan melewati musim terbaru, mereka kini di landasan untuk mencipta kejayaaan lebih besar dalam saingan tempatan, malah di Eropah.

Walaupun saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) baru sahaja melalui dua perlawanan, persembahan Liverpool sejak pra-musim dan dua kemenangan yang diraih meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan bakal mencabar Manchester City untuk merebut gelaran juara liga.

Skuad kendalian Klopp itu meraih kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace sebagai meneruskan momentum cemerlang dalam aksi pembukaan apabila menewaskan West Ham 4-0.

Alisson Becker

Selepas aksi mengecewakan dipamerkan Loris Karius dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL) yang berkesudahan tewas 3-1 kepada Real Madrid, The Reds mendapatkan khidmat penjaga gol baru -- seorang yang berpengalaman dan mempamerkan aksi cemerlang yang diperlukan Klopp.

Mereka menandatangani pemain nombor satu Brazil, Allison Becker dengan nilai perpindahan tertinggi untuk penjaga gol daripada kelab Serie A, Roma.

Setakat ini, dia masih belum dibolosi sebarang jaringan tetapi kebolehan sebenarnya masih belum diuji dan ternyata dia adalah pemain yang diperlukan Liverpool.

Mohamed Salah

Tidak diperlukan di Chelsea, Mohamed Salah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Itali untuk beraksi bersama Fiorentina dan Roma bagi mendapatkan keyakinannya semula dan keputusan Klopp mendapatkan bintang Mesir ini merupakan satu pencarian permata baru buat seluruh penyokong The Reds.

Musim 2017-18 ternyata amat baik buat Salah apabila mencetak 44 gol dalam semua kejohanan -- meraih anugerah Pemain Terbaik PFA dan FWA di samping mengatasi Harry Kane dalam persaingan but emas selaku penjaring terbanyak EPL.

Gagal membantu Mesir melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia, pemain berusia 26 tahun itu kembali ke Liverpool dan meneruskan impak yang dipamerkan sejak musim lalu.

Virgil van Dijk

Dengan status sebagai pertahanan termahal dunia, Van Dijk terpaksa menunggu hingga jendela perpindahan musim sejuk untuk memastikan dia menyertai Liverpool. 

Kehadirannya ternyata memberikan impak yang besar selepas Dejan Lovren dan Joel Matip menghadapi masalah untuk bertindak sebagai kubu terakhir pasukan. 

Kebolehan bukan sahaja daripada segi bertahan, kepantasan serta mahir mengawal bola menjadikan dirinya sebaris dengan barisan pertahanan terbaik di England.

Naby Keita

Naby Keita bersetuju untuk menyertai Liverpool tahun lalu tetapi terpaksa menunggu selama 12 bulan untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.

Ia merupakan satu penantian yang amat berbaloi buat pemain tengah Guinea itu serta buat semua pihak yang terlibat dalam pasukan.

Dalam dua aksi pertama, Keita menyerlah menguasai bahagian tengah padang, memiliki kualiti dalam hantaran ketika menyerang serta membantu pasukan ketika bertahan -- memiliki kualiti yang hampir sama dengan pemenang Piala Dunia, N'Golo Kante.

Sadio Mane

Jika Salah menyambung semula momentum musim lalu, haluan yang sama turut diambil oleh penyerang kebangsaan Senegal, Sadio Mane.

Selepas Salah tidak dapat meneruskan permainan dalam aksi final UCL berdepan Real, Mane bertindak sebagai penyerang utama dan berjaya menghasilkan jaringan penyamaan. Kepantasan dan ketajaman di depan gol menjadikan bekas pemain Southampton ini mampu menghadirkan kesukaran buat mana-mana pertahanan lawan.

Pemain berusia 26 tahun itu telah menjaringkan tiga gol dalam dua aksi EPL musim ini dan menjadi tonggak utama dalam barisan serangan di Anfield tahun ini.
 

Advertisement

Must Watch Video