RENCANA
Lepas Fatehah, Khairil, kini Shariz
Skuad basikal trek hilang tiga pelumba hebat dalam tempoh sebulan.
Bermula dengan persaraan ratu trek, Fatehah Mustapa diikuti Muhammad Khairil Nizam Rasol dan terbaru, Mohd Shariz Afendi Mohd Shahrin.
Kes Fatehah berbeza kerana dia bersara ketika masih berada dalam Program Podium sementara Khairil dan Shariz buat keputusan selepas digugurkan.
Iklan
Mungkin dirancang atau kebetulan, persaraan mereka berlaku dalam tempoh sebulan.
Malah, Khairil sudah pun mendapat pekerjaan sebagai kontraktor syarikat telekomunikasi.
"Saya ambil keputusan ini kerana mahu berada di samping keluarga. Saya masih lagi muda dan kerjaya ini lebih memberi jaminan".
"Basikal darah daging, dan saya tidak menolak untuk kembali mewakili negara jika diberi peluang pada masa depan," katanya.
Shariz pula mahu mencuba nasib untuk bergelar jurulatih Selangor.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 (pecut berpasukan) itu akan menghantar permohonan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Adakah mereka merancang pelan selepas persaraan? Itu keputusan yang perlu difikirkan ketika meniti zaman kegemilangan.
Majlis Sukan Negara menyediakan Program Pendidikan dan Karier Atlet Malaysia (MACE) tetapi adakah semua atlet negara faham mengenai hak dan kemudahan untuk mereka?
Kalau boleh, saya tidak mahu buat liputan mengenai atlit negara yang merempat - tiada pekerjaan selepas kontrak tidak disambung lagi.
Must-Watch Video