RENCANA
Lelong lelong Tokyo 2020
29 April 2019 menjadi tarikh keramat bagi badminton dunia dalam pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Secara keseluruhannya, sebanyak 38 tiket diperuntukkan bagi saingan perseorangan sementara 16 bagi beregu.
Jepun sebagai tuan rumah sudah pun memiliki satu tiket percuma bagi perseorangan lelaki dan wanita. Untuk sebuah negara memiliki dua wakil dalam perseorangan, mereka perlu berada dalam kelompok 16 terbaik sehingga tamat kelayakan.
Iklan
Beregu lebih sukar dengan piawaian untuk acara ini memerlukan mereka berada dalam kelompok lapan terbaik. Perebutan tiket ini akan dicerminkan menerusi ranking "Road to Tokyo" yang akan menghimpunkan mata daripada pencapaian 10 kejohanan terbaik sepanjang tempoh kelayakan.
Kedudukan semasa ranking dunia di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) juga mencerminkan kemampuan setiap mereka yang mengidamkan peluang beraksi di pentas Sukan Olimpik.
Pasca temasya Olimpik Rio 2016, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengidamkan Malaysia untuk memiliki dua wakil dalam setiap lima kategori dipertandingkan.
Selepas melihat kepada ranking semasa dunia, aspirasi ini lebih bersesuaian menuju kepada Sukan Olimpik 2024.
Di bawah merupakan ramalan peribadi saya siapa daripada kem negara yang akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Dan seperti selalunya, saya suka jika dibuktikan silap.
PERSEORANGAN LELAKI
Malaysia akan memiliki dua wakil dalam acara ini.
Saya enggan meletakkan tekanan kepada Datuk Lee Chong Wei memandangkan dia ada kemampuan untuk mencipta keajaiban.
Pilihan saya adalah:-
1.Lee Zii Jia
2. Liew Daren/Datuk Lee Chong Wei
PERSEORANGAN WANITA
Dua perseorangan wanita terbaik negara kita berada dalam kedudukan yang jauh berbeza. Goh Jin Wei di kelompok 25 terbaik dunia sementara Soniia Cheah di tangga ke 38 dunia.
Realistik untuk Malaysia memiliki satu wakil dalam acara ini.
1.Goh Jin Wei.
BEREGU LELAKI
Ini bakal jadi pertembungan menarik antara lima beregu -- tiga daripada kem kebangsaan dan dua daripada skuad profesional.
Tetapi ranking semasa menunjukkan perebutan di antara Olimpian Rio 2016, Goh V Shem/Tan Wee Kiong dan pasangan meningkat naik BAM, Aaron Chia/Soh Wooi Yik.
V Shem sendiri sudah menyebut bahawa sukar untuk satu pasangan negara berada dalam kelompok lapan terbaik dunia, apatah lagi untuk dua.
Saya setuju. Sukar untuk saya memilih siapa, jadi saya melihat kepada pengalaman untuk mendukung V Shem dan Wee Kiong ke Tokyo 2020. Aaron dan Wooi Yik, ayuh buktikan kemampuan anda. 1.Goh V Shem/Tan Wee Kiong.
BEREGU WANITA
Hanya keajaiban yang mampu membantu skuad beregu wanita memiliki dua wakil ke Tokyo.
Ini juga berbicara dengan realistik apabila saya melihat hanya satu wakil akan layak.
1. Lee Meng Yean/Chow Mei Kuan.
BEREGU CAMPURAN
Perspektif yang ingin saya tawarkan adalah seperti berikut. Skuad beregu campuran memiliki peluang paling cerah untuk memiliki dua wakil. Buat masa ini, pasangan profesional dan Olimpian Rio 2016 Chan Peng Soon/Goh Liu Ying berada di ranking nombor 5 dunia.
Jadi, perebutan satu lagi tiket adalah daripada kalangan beregu naungan BAM.
Pilihan saya:
1.Chan Peng Soon/Goh Liu Ying
2.Goh Soon Huat/Shevon Lai atau Tan Kian Meng/Lai Pei Jing
Kelayakan Olimpik akan menutup tirai pada 26 April 2020 dan sewajarnya kita akan bersua kembali membedah siasat pandangan dan ramalan ini. Sehingga itu, Lelong-Lelong Tokyo 2020.
Must-Watch Video